KUALA LUMPUR, 27 Mac — Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang bermesyuarat malam ini mengesahkan, keputusan jawatankuasa disiplin untuk menggantung keahlian seorang ahli parti selama enam tahun atau dua penggal pemilihan MT, kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti individu terbabit mahupun jawatan yang disandang oleh ahli UMNO itu.

“Saya ingin maklumkan seseorang, saya tidak mahu menyebut namanya, kerana biarlah beliau menerima surat penggantungan itu yang telah dihantar sebentar tadi,” katanya selepas menghadiri mesyuarat MT itu di sini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sekiranya Timbalan Ketua UMNO Putrajaya Tun Faisal Ismail Aziz digantung keahlian daripada UMNO.

“Segala perkara itu ada dalam surat yang berkaitan, segala perlembagaan yang mana yang dilanggar dan sebagainya itu ada dalam surat yang berkaitan.

“Jadi, biarlah individu yang berkaitan menerima surat itu, saya kira ia lebih elok jika beliau menerima surat itu. Saya tidak sebut ahli MT ya,” kata Ahmad apabila ditanya punca individu terbabit digantung keahliannya.

Sementara itu berhubung perjalanan Perhimpunan Agung UMNO esok, Ahmad berkata seramai 2,668 perwakilan di mana 1,100 atau 42 peratus daripadanya, akan menghadiri perhimpunan berkenaan di tiga dewan utama di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini. 

Jelasnya Presiden dan Timbalan Presiden PAS, MIC dan MCA serta Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Setiausaha Agung PBRS, telah mengesahkan kehadiran ke perhimpunan tersebut .

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here