BEIJING, 7 April  — Tan Kah Kee, seorang perantau China terkenal di Singapura dan Malaysia susulan kejayaannya dalam bidang perniagaan termasuk menubuhkan Nanyang Siang Pau dan pelbagai  sekolah.

Genap seabad lalu, iaitu pada 1921, beliau telah menyumbang dana untuk menubuhkan Universiti Xiamen.

Ketika itu, katanya  negara China menghadapi ancaman besar dan aspek pendidikan penting bagi menyuntik semangat kepada rakyat.

Menurutnya, andai  jiwa rakyat tidak mati, maka sesebuah negara itu akan kekal abadi.

Sempena ulang tahun ke-100 Universiti Xiamen, Presiden China, Xi Jinping pada Selasa mengutus perutusan tahniah dan menyatakan sepanjang seabad lalu, semangat “patriotik, revolusioner, berdikari dan saintifik” terus disemarakkan di universiti itu.

Menurut Xi, Universiti Xiamen telah berjaya melahirkan ramai tenaga profesional cemerlang yang  memberi sumbangan besar kepada pembangunan negara, kesejahteraan rakyat dan penyebaran budaya China di luar negara.

Masih segar di ingatan ketika melawat bandar Xiamen beberapa tahun lalu, penulis berpeluang mengunjungi Universiti Xiamen bagi menyampaikan penghargaan kepada Tan Kah Kee yang tersohor di China dan Asia Tenggara.

Di China, kisah mengenai sumbangan beliau yang mendermakan semua hartanya demi menyokong kelestarian pendidikan, tercatat dalam buku teks dan terpahat di hati setiap pelajar.

Namun, disebabkan kebanyakan dana diperuntukkan kepada pendidikan, urus niaganya menghadapi kesukaran.

Ketika itu, sebuah bank milik Britain sudi membantunya  tetapi dengan syarat Universiti Xiamen perlu ditutup.

Tanpa ragu-ragu,  Tan terus menolak bantuan itu sebaliknya terus menanamkan tekad dan azam untuk menyelamatkan China melalui pendidikan.

Beliau  menjual kebun getah dan vilanya untuk terus membantu pembangunan pelbagai sekolah dan menyerahkan Universiti Xiamen kepada kerajaan pada 1937.

Selepas tercetusnya perang menentang pencerobohan Jepun, Tan telah memimpin perantau China di Asia Tenggara menyumbang dana, ubat-ubatan dan pesawat pejuang kepada kerajaan, selain menyeru ribuan perantau pulang ke tanah air untuk berjuang mempertahankan tanah air daripada diceroboh.

Sekembalinya ke China untuk meninjau penggunaan sumbangan perantau di Asia Tenggara, beliau menyatakan tatkala askar bergadai nyawa berjuang di barisan hadapan dan rakyat mengalami kesengsaraan, kerajaan pimpinan Kuomintang cuai membiarkan kegiatan rasuah berleluasa.

Beliau kemudiannya melawat Yan’an, iaitu pangkalan revolusi Parti Komunis China untuk berperang dengan tentera Jepun.

Ketika menyaksikan pemimpin dan rakyat jelata saling bergandingan bahu mengharungi kesengsaraan serta rela berkorban nyawa, berjuang bermati-matian melawan musuh, beliau yakin masa depan yang gemilang menanti China.

Setelah Republik Rakyat China ditubuhkan, Tan kembali ke tanah air dan terus berusaha menggalakkan perkembangan Universiti Xiamen sehingga nafasnya yang terakhir. Beliau meninggal dunia  pada  1961.

Ibarat pepatah  “harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama”, meskipun enam dekad pemergian beliau, jasa dan pengorbanannya terus dikenang.  

Pembukaan kampus Universiti Xiamen di Malaysia sejak lima tahun lalu sebagai satu lagi penghargaan kepada jasanya, dan seiring trend perkembangan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

Pendidikan mampu membangkitkan semangat sesebuah bangsa, juga berupaya merapatkan persefahaman antara kaum dan negara.

Semangat Tan Kah Kee dan Universiti Xiamen bakal menjadi asas kepada kerjasama China-Malaysia ke arah masa depan yang lebih gemilang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here