GEORGE TOWN, 8 April — Kerajaan Pulau Pinang telah membantu lebih 192,000 warga emas di Pulau Pinang untuk mendaftarkan maklumat mereka ke aplikasi MySejahtera untuk suntikan vaksin COVID-19 dengan mengintegrasikan data daripada i-Sejahtera.

Data piawaian i-Sejahtera, sistem kebajikan Pulau Pinang, merangkumi warga emas, ibu tunggal, orang kurang upaya serta anak emas, pelajar emas dan ibu emas di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri Dr Norlela Ariffin berkata inisiatif untuk mengintegrasikan data i-Sejahtera ke aplikasi MySejahtera dicadangkan kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dalam mesyuarat. 

“Ini adalah berita baik kerana Fasa 2 program imunisasi COVID-19 bagi Pulau Pinang dijangka bermula 19 April,” katanya kepada pemberita di sini.

Bagaimanapun, beliau berkata data i-Sejahtera tidak meliputi semua warga emas di Pulau Pinang kerana terdapat lebih 200,000 golongan itu di negeri ini.

Norlela berkata kira-kira 11,000 warga emas di Pulau Pinang sama ada telah mendaftar sendiri untuk suntikan vaksin itu melalui aplikasi MySejahtera atau masih belum berbuat demikian.

“Tidak kira yang mana, kami menggesa semua orang untuk mendaftar masuk aplikasi MySejahtera untuk memastikan mereka telah berdaftar untuk vaksinasi,” katanya. 

Sementara itu, Norlela juga berkata 41 peratus daripada jumlah penduduk Pulau Pinang atau lebih 570,000 rakyat negeri itu telah mendaftar untuk program vaksinasi COVID-19.

Katanya jumlah itu tidak termasuk 192,000 warga emas di Pulau Pinang yang didaftarkan secara automatik melalui i-Sejahtera untuk suntikan vaksin.

“Walaupun jumlah itu dicampurkan (penduduk dan warga emas), kami masih jauh lagi untuk mencapai matlamat sasaran kami sebanyak 70 peratus atau sekitar 1.38 juta rakyat Pulau Pinang mendaftar vaksin COVID-19,” katanya lagi.

Terdahulu, Norlela menghadiri prapelancaran pusat perubatan nuklear, Hospital Adventist Pulau Pinang (PAH), hospital swasta pertama di Wilayah Utara yang mempunyai pusat perubatan nuklear sepenuhnya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here