PUTRAJAYA, 9 April — Dua pertiga daripada 2,576 kes kematian penunggang motosikal dalam tempoh sembilan bulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pada tahun lepas melibatkan penunggang p-hailing, iaitu perkhidmatan penghantaran barangan dan makanan menggunakan motosikal.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang memetik statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkata adalah menyedihkan isu kemalangan jalan raya turut melibatkan golongan p-hailing yang juga ‘bread winner’ (pencari nafkah) kepada keluarga.

“Anak-anak kehilangan bapa atau ibu mereka, dan memberi kesan sosial serta ekonomi kepada waris keluarga ini,” katanya yang menganggarkan terdapat 100,000 individu terlibat dalam perkhidmatan p-hailing di negara ini.

Sehubungan itu, Kempen Keselamatan p-hailing bertemakan  ‘Penunggangan Cermat, Penghantaran Selamat’ yang dilancarkan beliau hari ini merupakan inisiatif kerajaan dengan kerjasama pihak penyedia perkhidmatan, untuk mengurangkan kadar kemalangan serta meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya.

Menurutnya, kajian pemerhatian oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros)  melalui kamera litar tertutup (CCTV) mendapati 70 peratus penunggang p-hailing menunjukkan tingkah laku berisiko pada waktu puncak.

Antaranya berhenti di petak kuning, melanggar lampu merah serta menggunakan telefon mudah alih ketika menunggang, katanya.

Sehubungan itu, kempen keselamatan dalam kalangan penunggang p-hailing diadakan selama enam bulan mulai April hingga September ini, yang membawa mesej keselamatan jalan raya melalui pop-up aplikasi, khidmat latihan penunggangan selamat serta aktiviti pemerhatian tingkah laku.

Selain itu, peringatan secara langsung juga akan dilaksanakan kepada semua penunggang motosikal semasa berhenti di persimpangan lampu isyarat yang dilengkapi kamera litar tertutup dan sistem pembesar suara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here