BEIJING, 14 April  — Jumlah import dan eksport perdagangan komoditi China menyaksikan peningkatan 29.2 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Data rasmi Jabatan Pentadbiran Am Kastam China (GAC) pada Selasa menunjukkan, eksport menokok sebanyak 38.7 peratus, manakala import berkembang 19.3 peratus.

Menurut maklumat Pejabat Penerangan Dewan Negara China pula, ASEAN berjaya mengekalkan status sebagai rakan dagang terbesar China untuk tempoh sama, diikuti Kesatuan Eropah (EU), Amerika Syarikat (AS) dan Jepun.

Statistik turut menunjukkan, jumlah import dan eksport antara China dengan ASEAN mencatat RMB1.24 trilion (RM782 bilion) pada suku tahun pertama, meningkat 26.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Import dan eksport dengan EU, AS dan Jepun pula masing-masing direkodkan sebanyak RMB1.19 trilion (RM751 bilion), RMB1.08 trilion (RM681 bilion) dan RMB561.42 bilion (RM354 bilion), memperlihatkan peningkatan 36.4 peratus, 61.3 peratus dan 20.8 peratus.

Selain itu, jumlah import dan eksport antara China dengan negara terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) serta rakan dagang Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) turut merekodkan pertumbuhan sebanyak 21.4 peratus dan 22.9 peratus.

Seiring dengan program pemvaksinan dilaksana di lebih banyak negara dan wilayah, dunia kini menunjukkan tanda pemulihan ekonomi.

Di samping itu, China pula terus menyaksikan pemulihan pengeluaran perindustrian, pelaburan dan penggunaan, selain usaha pencegahan dan kawalan pandemik COVID-19 terbukti berkesan serta ekonomi terus berkembang.

Difahamkan kesemua faktor itu menjadi pendorong utama dalam peningkatan perdagangan luar China.

China dipercayai akan terus mengamalkan dasar pembaharuan dan pintu terbuka, mewujudkan lebih banyak syarat bagi mengekalkan peningkatan perdagangan luar, sekali gus membantu ekonomi global pulih dengan stabil.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here