BATU PAHAT, 17 April  — Tawaran diskaun 70 peratus bayaran saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selama dua bulan, bermula Selasa lepas, mendapat sambutan memberangsangkan daripada orang ramai.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata diskaun tersebut memberi kebaikan kepada pengguna jalan raya khususnya mereka yang masih dalam tindakan senarai hitam untuk melunaskan saman tertunggak selain meringankan beban golongan hilang pekerjaan.

“Sambutan agak memberangsangkan khususnya dalam kalangan mereka yang mempunyai saman tertunggak.

“Mereka memang menunggu (peluang membayar saman) kerana dalam keadaan gawat ini, ada yang hilang pekerjaan dan cuba mencari pekerjaan lain serta dalam masa sama perlu memperbaharui lesen sekali gus keluar dari senarai hitam,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan RM3,000 kepada setiap 95 surau dan RM1,000 kepada setiap 32 masjid dalam kawasan Parlimen Ayer Hitam bersempena Ramadan, di Ayer Hitam, di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semarang Datuk Samsolbari Jamali.

Isnin lepas, Wee dilaporkan berkata tawaran diskaun untuk saman yang boleh dikompaun itu adalah bersempena sambutan ulang tahun ke-75 JPJ yang melibatkan 3.5 juta saman aktif dikenal pasti sejak 2010 hingga Mac tahun ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here