KUALA LUMPUR, 19 April — Pameran Awan Ekspo Produk Pengguna Antarabangsa China (Malaysia – Hainan Special) yang diadakan pada Jumaat lepas berjaya menarik penyertaan lebih 1,000 usahawan.

Acara diadakan secara maya itu yang disiarkan secara langsung menerusi Platform Pemadanan CCB Match Plus B2B Global pada 16 April, menyaksikan sebilangan pembeli domestik di China menyatakan kesediaan menjalankan urusan perniagaan dengan usahawan Malaysia.

China Construction Bank (CCB) Malaysia dalam satu kenyataan berkata syarikat yang mengambil bahagian mempamerkan produk mereka yang berkualiti seperti durian, sarang burung, kopi dan hasil seni serantau yang unik.

Wakil daripada industri yang sedang meningkat dengan pesat seperti pengesahan digital dan penjagaan kesihatan turut mempamerkan perkhidmatan dan produk mereka menerusi video promosi dan pembentangan korporat. 

Semasa sesi pemadanan perniagaan dalam talian, Good Health System (GHS), Country Heights Health Tourism Sdn Bhd dan Labuan Digital Authentication Centre Incorporated memeterai perjanjian persefahaman (MoU) tiga pihak.

Menerusi pengenalan kebolehkesanan digital jaminan kualiti serta perkhidmatan ujian pantas bioteknologi, ketiga-tiga institusi tersebut akan bekerjasama untuk menyepadukan model pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI) untuk mempromosikan perubatan tradisional Cina di Malaysia dan rantau Asean, bagi menjalin kerjasama rentas sempadan jangka panjang dan perdagangan produk.

Semasa pameran awan tersebut, Timbalan Pengarah Biro Pembangunan Ekonomi Antarabangsa Wilayah Hainan, Gong Qijun berkongsi pandangan mengenai dasar Pelabuhan Perdagangan Bebas Hainan, disusuli dengan kemas kini status dan sorotan Ekspo Produk Pengguna Antarabangsa China 2021 akan datang.

Pengasas The Mines Resort and Country Heights Holding Bhd Tan Sri Lee Kim Yew memberi pengenalan mengenai kumpulannnya dan Golden Horse Digital Investment Bank, manakala pengurus cawangan International Department of China Construction Bank (CCB) Hainan Cai Xiong dan bendahari CCB Malaysia Wang Ziming memperkenalkan Platform Pemadanan CCB B2B Global dan perkhidmatan kewangan.

Bekas pengarah Lembaga Monetari Macau Anselmo Teng Lin Seng menyampaikan maklumat tentang International Digital Authentication Centre (Labuan) dan turut serta dalam upacara pemeteraian secara maya itu.

Acara itu dianjurkan bersama oleh CCB Malaysia, CCB cawangan Hainan dan Biro Pembangunan Ekonomi Antarabangsa Wilayah Hainan yang bertujuan memupuk kerjasama antara industri dan transformasi digital.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here