KUALA LUMPUR, 21 April — Citi Malaysia telah memberi jaminan kepada pelanggannya bahawa operasi dan pejabat Perniagaan Pengguna akan terus berjalan seperti biasa dengan azam dan semangat yang sama untuk melayani dan menyokong pelanggan.

Ini berikutan pengumuman yang dibuat oleh Citigroup pada 15 April bahawa ia akan menutup francais perbankan pengguna di 13 pasaran seluruh Asia, Eropah dan Timur Tengah, termasuk Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Citi Malaysia Usman Ahmed berkata memandangkan Citi telah memulakan lembaran baharu di Malaysia, ia akan memastikan langkah itu dilakukan dengan cara yang melindungi kepentingan dan meminimumkan kesan terhadap pelanggan, pekerja dan pihak berkepentingan lainnya.

“Tidak akan ada perubahan dalam cara kami melayani pelanggan dan kami yakin dengan kemampuan untuk melaksanakannya dan akan menguruskan peralihan secara efektif.

“Kami akan memberikan makluman terkini apabila kami telah mempunyai butiran terperinci untuk dikongsikan tetapi kami ingin meyakinkan semua bahawa keutamaan kami tetap pada melayani keperluan perbankan pelanggan dan pelanggan kami,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Perniagaan Pengguna Elaine Fan juga berkata semua produk dan perkhidmatan yang ada akan berterusan seperti biasa dan tiada sebarang perubahan pada tahap perkhidmatan yang diberikan oleh mereka.

“Semua cawangan, ATM, pusat panggilan dan pejabat akan terus beroperasi seperti hari ini. Pelanggan boleh terus melakukan transaksi atau membuat pertanyaan perkhidmatan melalui Citi Mobile App, Citibank Online dan CitiPhone.

“Ini semua akan berjalan seperti biasa sehinggalah kami memaklum kepada pelanggan sebarang perubahan di masa hadapan,” jelasnya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here