GEORGE TOWN, 20 April  — Kerajaan negeri Pulau Pinang mencadangkan supaya Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan nama-nama sekolah atau institusi pendidikan yang perlu ditutup akibat kes COVID-19 bagi mengelakkan orang ramai membuat spekulasi.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kes-kes COVID-19 yang melibatkan institusi pendidikan selalunya mendapat perhatian para ibu bapa kerana ia melibatkan keselamatan anak-anak mereka.

Beliau berkata pada masa ini pendekatan yang diambil oleh KKM ialah melakukan penilaian risiko sebelum membuat keputusan untuk menutup sekolah atau kelas dalam sekolah tertentu sekiranya ada kes COVID-19 dikesan di institusi pendidikan terbabit.

“Mungkin ada kes-kes berlaku di sekolah atau institusi pendidikan di Pulau Pinang namun masih di tahap rendah dan tidak dinamakan kluster sehingga menyebabkan penutupan,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Sains Malaysia, Digital Penang dan Angkasa X Innovation Sdn Bhd di sini hari ini.

Bagaimanapun, Chow berkata setakat ini, semua sekolah dan institusi pendidikan di Pulau Pinang masih beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan KKM.

Mengenai pematuhan SOP di bazar Ramadan di Pulau Pinang, Chow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota berkata keadaan bazar Ramadan di negeri itu masih terkawal dan mengikut SOP.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here