PETALING JAYA  22 April — Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, memperkenan sebuah kumpulan untuk menghadap baginda bagi memohon penamatan segera darurat.

Pengerusi Jawatankuasa Rayuan Penamatan Proklamasi Darurat, Khalid Samad, berkata tarikh untuk jawatankuasa itu menghadap Tuanku akan dimaklumkan kemudian oleh pihak Istana.

“Sukacita dimaklumkan bahawa pagi ini saya telah menerima warkah daripada Istana Negara yang memaklumkan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong bersetuju untuk menerima menghadap Jawatankuasa Rayuan Penamatan Proklamasi Darurat untuk menyerah petisyen agar darurat ditamatkan,” katanya dalam kenyataan.

“Walaupun tarikh untuk menghadap belum lagi ditentukan, kami yakin satu tarikh akan ditetapkan seberapa segera untuk membolehkan kami semua menghadap Agong bagi menyerahkan petisyen rayuan tersebut.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, berkata “kesan buruk darurat semakin ketara hari ke hari”, sejak diisytiharkan Januari lalu, dan patut ditamatkan secepat mungkin, tanpa menunggu sehingga 1 Ogos.

Selasa lalu, bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, berkata cara pewartaan darurat pada Januari lalu oleh kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin menunjukkan seolah-olah segala pelaksanaannya dibuat atas perintah Agong, sekali gus menyebabkan rakyat marah kepada Istana sedangkan nasihat yang diberikan kepada Agong oleh kerajaan tidak tepat.

“Adalah penting untuk ini (sentimen rakyat) disampaikan kepada Agong. Jika tidak, mereka (kerajaan) mungkin melakukan sesuatu yang boleh menambahkan lagi kemarahan rakyat,” katanya.

Ramai pihak, termasuk Mahathir, pembangkang dan kalangan pemimpin Umno sendiri, menuduh Muhyiddin memberikan gambaran salah untuk meyakinkan pihak Istana keperluan darurat.

Mereka mendakwa, darurat memberi kuasa luas kepada Perdana Menteri dan kerajaan untuk melakukan apa yang perlu bagi mengekalkan kuasa ketika keabsahan kerajaan dipertikaikan.

Antara lain, perisytiharan darurat menyebabkan Parlimen tidak boleh bersidang dan pilihan raya umum tidak boleh diadakan.

Kerajaan menafikan tuduhan itu dan menegaskan negara perlu diletakkan bawah darurat untuk membolehkan tindakan lebih berkesan diambil bagi menangani wabak Covid-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here