KUALA LUMPUR, 24 April — Aktivis Fahmi Reza ditahan reman sehari bagi membantu siasatan polis berhubung dakwaan satu hantaran berbaur penghinaan melibatkan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di laman media sosial lelaki itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed mengesahkan perkara berkenaan dalam kenyataan hari ini.

Permohonan reman terhadap lelaki itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi dan dia kini ditahan di balai berkenaan.

Semalam, Huzir memaklumkan Fahmi Reza atau nama sebenarnya Fahmi Reza Mohd Zarin ditahan di sebuah lokasi di ibu negara oleh sepasukan anggota JSJ Bukit Aman.

Penahanan dibuat susulan laporan polis yang diterima berkaitan satu hantaran dibuat lelaki itu menggunakan akaun Facebook Fahmi Reza membabitkan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.

Katanya, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (UJST), Bahagian D5, JSJ Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here