ALOR SETAR, 26 April — Kerajaan sedang menunggu data daripada syarikat farmaseutikal Pfizer berkaitan ujian klinikal ke atas penerima vaksin COVID-19 melibatkan golongan remaja berusia antara 12 dan 15 tahun.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata setakat ini syarikat dari Amerika Syarikat itu adalah satu-satunya yang mempunyai dapatan awal mengenai ujian terhadap golongan itu.

“Pfizer telah memaklumkan kepada kita bahawa mereka akan menghantar maklumat ujian klinikal yang sedang dijalankan dalam kalangan penerima berusia antara 12 dan 15 tahun kepada pihak Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA).

“Mereka (Pfizer) juga akan mengemukakan maklumat itu kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) negara kita,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Badan Bertindak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat Kedah di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata selepas mendapat data ujian klinikal itu nanti, NPRA akan menentukan sama ada vaksin keluaran syarikat berkenaan boleh digunakan ke atas golongan remaja berusia antara 12 dan 17 tahun dalam negara.

“Sebelum ini kita tetapkan penerima vaksin untuk yang berusia 18 tahun ke atas. Kebanyakan tempahan vaksin kita juga adalah daripada Pfizer dan kita mungkin boleh minta lebih lagi daripada Pfizer selepas ini, jika vaksin itu boleh digunakan ke atas golongan remaja,” katanya.

Bagaimanapun, Khairy menjangka perkara itu tidak dapat dilaksanakan dalam masa terdekat memandangkan ujian klinikal itu mungkin mengambil masa yang lama.

Dalam pada itu, beliau berkata tujuh lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan dibuka di Kedah mulai 1 Mei depan bagi memudahkan penerima mendapatkan suntikan dalam fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

“Sebelum ini kita telah buka lima PPV di Kedah. Selain itu kita ada empat ‘special’ PPV di Kedah iaitu Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar; Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani; Hospital Kulim dan Hospital Sultanah Maliha, Langkawi.

“Special PPV ini ialah untuk kumpulan berisiko tinggi yang ada alahan, masalah sistem imunisasi dan sejarah pendarahan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here