BEIJING, 28 April — Ekspo Pelaburan dan Perdagangan Tengah China ke-12 yang akan berlangsung pada 21 hingga 23 Mei di Taiyuan, wilayah Shanxi berjaya menarik minat ramai pempamer tempatan dan luar negara.

Kementerian Perdagangan China memaklumkan, setakat ini ekspo  itu sudah menerima penyertaan dari 70 buah syarikat yang tersenarai dalam Fortune Global 500.

Selain itu, 15 pemimpin dan pegawai kanan luar negara serta perwakilan  19 kedutaan asing di China, lapan organisasi antarabangsa dan 13 institusi pelaburan turut mengesahkan penyertaan mereka.

Difahamkan, ekspo berkenaan merangkumi pelbagai acara antaranya pameran, forum dan pelaksanaan kerja lapangan.

Naib Menteri Perdagangan, Wang Shouwen menyatakan, dengan mempunyai kelebihan daripada segi faktor kos, lokasi geografi dan saiz pasaran, wilayah tengah China berpotensi untuk menarik lebih banyak pelaburan asing.

“Sistem pengangkutan di tengah China lebih bersepadu dengan penyediaan rangkaian pengangkutan darat, laut dan udara yang cekap dan efisien,” katanya dalam sidang media di sini pada Selasa.

Menurut beliau, ekspo yang memasuki tahun ke-12 itu bukan sahaja menjanjikan pembangunan kepada masyarakat tempatan, malah menawarkan peluang pelaburan kepada pedagang asing.

“Syarikat modal asing berorientasikan eksport boleh memaksimumkan kelebihan lokasi itu daripada segi geografi untuk menembusi pasaran antarabangsa. Untuk sektor tempatan pula, faktor penduduk yang ramai menjanjikan sebuah pasaran besar kepada syarikat berkenaan,” jelas Wang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here