KOTA KINABALU, 29 April  — Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor hari ini meluluskan dana berjumlah RM746,000 bagi menangani isu penyalahgunaan dadah dan kes devians (penyimpangan) sosial di Sabah.

Beliau berkat dana sebanyak RM500,000 akan disalurkan kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk menjalankan satu program inisiatif bersepadu bagi menangani isu ketagihan dadah dan penyakit sosial di kawasan berisiko tinggi serta tanah seluas 12 hektar bagi membina sebuah pusat pemulihan penagihan narkotik (Puspen) baharu di Tawau.

Ketika ini, Sabah memiliki sebuah Puspen di Papar yang boleh menampung sehingga 300 pelanggan pada satu-satu masa.

“Universiti Malaysia Sabah (UMS) pula diberikan peruntukan sebanyak RM246,000 untuk meneruskan program keluarga bahagianya sebagai satu pendekatan holistik bagi menangani isu ketagihan dadah dan devians sosial,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Sabah di Pusat Pentadbiran Negeri di sini.

Turut hadir Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazami Ghazali, Ketua Timbalan Pengarah AADK (Pengurusan) Chan Hong Jin dan Pengarah AADK Sabah Abdul Hamediee Ibrahim.

Hajiji berkata MTMD telah mengenal pasti 12 kawasan berisiko tinggi dadah iaitu Likas, Inanam dan Penampang, Luagan, Patikang, Tuarid Taud, Tanjung Batu, Merotai, Balung serta tiga zon di Labuan yang tertakluk di bawah bidang kuasa AADK Sabah.

Beliau turut menggesa semua pegawai daerah yang juga merupakan pengerusi MTMD di peringkat daerah agar mengambil tindakan segera bagi mengurangkan masalah penyalahgunaan dadah terutama di kawasan berisiko tinggi bagi membolehkan isu ketagihan dan masalah kemerosotan sosial mampu ditangani.

“Pelbagai aktiviti dan program akan dilaksana bagi mengurangkan masalah penyalahgunaan dadah di kesemua lokasi terbabit dan menukarkan statusnya kepada kawasan hijau,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here