SEREMBAN, 5 Mei — Mana-mana masjid atau surau di negeri ini yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan untuk mengekang penularan jangkitan COVID-19, akan ditutup selama seminggu.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata langkah itu bertujuan menjaga kesihatan masyarakat sekali gus mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku termasuk penularan wabak itu di rumah ibadah.

“Ini kerana kita dapat beberapa maklumat semalam, ada beberapa surau dan masjid yang melanggar  SOP seperti tidak bawa sejadah sendiri. Walaupun tidak ramai, seorang sahaja (langgar SOP) tetapi kerana seorang pun kita terpaksa tutup.

“Perkara itu telah dipersetujui dalam sidang mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sembilan semalam…penutupan itu juga tertakluk kepada tempat ibadah lain,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Beliau turut memaklumkan kerajaan negeri kini dalam peringkat menyiapkan SOP berkenaan operasi masjid serta surau ketika Aidilfitri dan dijangka akan diumumkan pada waktu terdekat.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata jumlah pendaftaran vaksin di negeri ini agak perlahan dan hanya  392,632 individu atau 46.2 peratus sudah berbuat demikian setakat hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta Jabatan Kesihatan negeri dan Pejabat Daerah supaya sentiasa menggerakkan program dan aktiviti bagi meningkatkan kesedaran orang ramai sekali gus menggalakkan mereka mendaftar sebagai penerima vaksin di negeri ini.

Beliau turut menasihati individu yang telah membuat janji temu suntikan vaksin COVID-19 supaya mematuhi waktu yang ditetapkan dan tidak memberikan pelbagai alasan untuk tidak menghadirinya.

Berkenaan kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital yang dikhususkan untuk pesakit COVID-19 di negeri ini, Aminuddin memaklumkan keadaan setakat ini masih terkawal dan belum mencapai tahap amaran.

“Kadar penggunaan setakat ini masih pada tahap 50 peratus, kita masih ada 14 kekosongan katil daripada jumlah keseluruhan 16 katil di ICU Hospital Tuanku Jaafar dan Hospital Tampin, manakala 325 lagi di wad biasa,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here