MELAKA , 6 Mei — Seorang ibu tunggal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 19 pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram berjumlah RM962,845.21 tujuh tahun lalu.

Tertuduh, Loo Mei Lin, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.

Mengikut pertuduhan pertama, ahli perniagaan tersebut didakwa menggunakan satu nombor akaun sebagai peralatan kesalahan berkaitan aktiviti haram.

Dalam pertuduhan kedua hingga ketujuh, tertuduh didakwa menerima wang dengan jumlah keseluruhan RM962,845.21 yang merupakan hasil aktiviti haram daripada mangsa, Teh Eet Meng, 55, melalui akaun miliknya.

Bagi pertuduhan kelapan hingga ke-19 pula, tertuduh didakwa menggunakan wang berjumlah keseluruhan RM273,255.84 hasil daripada aktiviti haram bagi membayar kad-kad kredit miliknya serta membeli polisi-polisi insurans atas nama ahli keluarga.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah pada 29 Dis 2014 hingga 30 Julai 2015 dan dikemukakan menurut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau peralatan kesalahan pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Zainal mencadangkan jaminan sebanyak RM60,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan tidak boleh mengganggu mangsa.

Bagaimanapun, peguam tertuduh Michael Tan merayu jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya berdepan dengan dua pertuduhan lain selain menjadi ibu tunggal kepada tiga orang anak sejak 20 tahun lalu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 berserta kesemua syarat tambahan yang dipohon pendakwaan.

Kes akan disebut semula pada 4 Jun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here