KUALA LUMPUR, 12 Mei  — Syarikat telekomunikasi terkemuka Sweden, Ericsson telah mengetengahkan kesan 5G kepada pengguna telefon pintar di seluruh dunia dan jangkaan apa yang teknologi itu dapat lakukan pada masa depan.

Dalam kajian bertajuk ‘Five Ways to a Better 5G’ yang dilakukan oleh unit berasaskan pengetahuannya, Ericsson ConsumerLab adalah hasil kajian pengguna 5G global terbesar setakat ini.

Kajian itu merangkumi sentimen dan persepsi pengguna di 26 pasaran termasuk Amerika Syarikat, China, Korea Selatan, dan United Kingdom.

Penemuan kajian itu yang dikeluarkan dalam sebuah laporan hari ini berkata pengguna 5G di seluruh dunia menghabiskan lebih banyak masa dengan bermain ‘cloud gaming’ dan realiti terimbuh (AR).

Menggabungkan pemandangan dan imej yang berasaskan komputer dan sebenar untuk memberikan pandangan dunia yang bersatu tetapi dipertingkatkan, AR adalah teknologi interaktif, realiti berasaskan persekitaran paparan yang mempunyai kemampuan memaparkan imej dijana komputer, suara, teks dan kesan untuk mempertingkatkan pengalaman dunia sebenar penggunanya.

Liputan dalam bangunan adalah salah satu bidang tumpuan dalam kajian itu dengan satu dalam lima pengguna 5G telah mengurangkan penggunaan WiFi pada telefon mereka di dalam rumah kerana kelebihan kesalinghubungan mudah alih 5G.

“Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh sudah bersedia untuk mengalami pengalaman ini tidak lama lagi kerana kajian ini memberikan gambaran mengenai apa yang dapat dijangkakan dan juga apa yang diharapkan pengguna,” kata Presiden Ericsson Malaysia, David Hagerbo dalam satu kenyataan hari ini.

Syarikat itu berkata ia akan menggunakan pendapat daripada laporan berkenaan untuk memberikan pengalaman 5G yang memuaskan kepada beberapa negara antaranya Malaysia, ia berhasrat untuk melakukan kelainan denga pengetahuan dan kepakaran mereka.

Bagaimapun, laporan itu juga mendapati walaupun pengguna 5G berpuas hati dengan kepantasannya, kira-kira 70 peratus tidak berpuas hati dengan ketersediaan perkhidmatan inovatif dan aplikasi baharu.

Pengguna berkata mereka sanggup membayar 20 hingga 30 peratus lebih banyak untuk pelan 5G digabungkan dengan perkhidmatan digital baharu.

Laporan itu juga berkata bahawa tujuh dari sepuluh pengguna 5G mengharapkan perkhidmatan dan aplikasi yang lebih inovatif dengan liputan dalam bangunan dinilai dua kali lebih penting daripada kelajuan atau jangka hayat bateri untuk pengguna awal.

Metodologi kajian Ericsson ConsumerLab itu mewakili 1.3 bilion pengguna telefon pintar di seluruh dunia, termasuk 220 juta pelanggan 5G.

Penemuan laporan utama mendedahkan bahawa walaupun pada akhir tahun 2020, kesedaran yang meningkat mengenai faedah perkhidmatan dan nilai mungkin menyebabkan sebanyak 22 peratus pengguna telefon pintar menaik taraf dengan melanggani teknologi 5G.

Laporan itu juga menekankan bagaimana 5G sudah mula mengubah tingkah laku pengguna baharu.

Pengguna 5G awal menghabiskan masa secara purata selama dua jam atau lebih untuk ‘cloud gaming’ dan lebih satu jam bermain aplikasi AR dalam seminggu berbanding pengguna 4G.

Sekatan pergerakan penuh dan sekatan perjalanan akibat pandemik COVID-19 bermaksud sebahagian besar pengalaman biasa pengguna awal 5G dengan teknologi tersebut telah berada di dalam rumah atau bangunan, kata laporan itu.

Akibatnya pengguna awal menunjukkan bahawa liputan dalam bangunan adalah dua kali lebih penting daripada kelajuan atau jangka hayat bateri dalam memberikan pengalaman 5G yang memuaskan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here