KUCHING, 15 Mei — Kelab Penyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyifatkan kenyataan Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen yang mempersoalkan  penyaluran bantuan COVID-19 di negeri itu hanya bertujuan mencari publisiti murahan.

Menurut kelab itu, kerajaan negeri telah menyalurkan pelbagai bantuan bagi membantu kumpulan-kumpulan rakyat yang terjejas oleh penularan COVID-19 menerusi Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) yang bernilai lebih RM3.2 bilion.     

Mereka juga menafikan tuduhan Chong bahawa kerajaan Sarawak tidak membantu peniaga kecil di negeri itu.

“Dasar yang dibuat berkaitan penguatkuasaan sekatan pergerakan mengambil kira kepayahan yang dihadapi oleh rakyat, khususnya peniaga kecil, pekerja swasta, mereka yang bekerja sendiri dan tidak mempunyai pendapatan  tetap – membolehkan mereka kembali pulih daripada kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama tahun lepas.

“Ini disokong selanjutnya menerusi keputusan untuk tidak melaksanakan PKP di Sarawak baru-baru ini, sebaliknya diteruskan dengan PKP Bersyarat yang sedang berkuat kuasa,” kata kelab itu dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Chong dalam kenyataannya menyoal sama ada kerajaan negeri menahan pemberian bantuan itu dan menunggu pilihan raya negeri sebelum disalurkan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Tupong Fazzrudin Abdul Rahman dalam kenyataan berlainan, berkata GPS sentiasa membantu rakyat, sama ada pekerja sektor awam, swasta, peniaga kecil dan orang awam.

“Ini diamalkan sepanjang penggal lima tahun selepas dipilih sebagai kerajaan negeri dan akan diteruskan pada masa akan datang.

“GPS tidak mengamalkan sikap hanya muncul semasa musim pilihan raya bagi memperjuangkan kebajikan rakyat. Bagi kami perjuangan ini bukan perkara bermusim kerana rakyat memerlukan bantuan pada sepanjang masa,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here