KOTA BHARU, 23 Mei — Kelantan mengenal pasti dua lokasi baharu Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) bagi menampung keperluan berikutan negeri itu masih menunjukkan trend peningkatan kes harian COVID-19.

Pengarah PKRC Kelantan Dr Mohd Azman Yacob berkata dua lokasi itu ialah Dewan Kebudayaan dan Kesenian Negara serta Queenspark Sportcity, masing-masing di daerah ini.

Beliau berkata keperluan untuk membuka PKRC baharu itu wujud susulan 11 PKRC sedia ada di seluruh Kelantan telah mencapai kapasiti penggunaan antara 90 hingga 97 peratus.

“Dua lokasi baharu yang dikenal pasti itu berkemungkinan boleh dijadikan sebagai PKRC yang berkapasiti tinggi,“ katanya selepas meninjau PKRC Khas Gelanggang Seni, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Azman berkata keperluan PKRC yang semakin meningkat di Kelantan juga susulan negeri itu tidak mempunyai bangunan berkapasiti besar yang boleh menempatkan pesakit COVID-19 dalam jumlah yang tinggi.

“Setakat ini, PKRC yang paling besar yang boleh menempatkan pesakit COVID-19 dalam kuantiti yang ramai ialah PKRC Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian yang mampu menempatkan 464 pesakit pada satu-satu masa,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya berkemungkinan menambah 30 lagi katil klinikal di PKRC Khas Gelanggang Seni dalam tempoh terdekat bagi menempatkan pesakit COVID-19 kategori tiga ke atas.

“Ini kerana penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) telah mencapai kapasiti hingga 95 peratus, malah ada ketika mencapai 100 peratus.

“Saya juga ingin menasihati orang ramai, terutama rakyat Kelantan, agar  bukan sahaja kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) norma baharu malah perlu menjiwainya memandangkan apabila mereka menjiwainya automatik mereka akan patuh terhadap SOP yang ditetapkan,” katanya. 

Kelantan merekodkan 613 kes harian baharu semalam dengan 53 kluster aktif.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here