KUALA LUMPUR, 25 Mei — Polis menahan enam individu disyaki terbabit kegiatan menjahit dan menjual pakaian seragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) tanpa permit sah dalam serbuan berasingan di tiga premis di kawasan Pekan Sg Besi, di sini.

Ketua Jabatan Pengurusan Polis Kuala Lumpur Datuk Shaharon Anuar Abdul Latif berkata kesemua suspek berusia dalam lingkungan 30 hingga 52 tahun termasuk tiga wanita tempatan yang dipercayai pemilik premis berkenaan ditahan dalam serbuan sekitar 3 petang  pada 19 Mei lepas.

“Tiga suspek lelaki adalah warga Bangladesh dipercayai pekerja di premis berkenaan. Semua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras untuk siasatan lanjut manakala suspek wanita dilepaskan dengan ikat jamin pada hari yang sama.

“Kesemua suspek lelaki ditahan reman sehingga 7 Jun depan bagi membantu siasasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shaharon Anuar berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 89 Akta Polis 1967 kerana tiada kebenaran menjual pakaian dan peralatan PDRM , Seksyen 55 (B) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Beliau berkata kegiatan menjahit dan menjual peralatan PDRM  tanpa kebenaran perlu dibanteras kerana dikhuatiri disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan menyamar sebagai pegawai atau anggota polis. 

Orang ramai dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat yang berkaitan dengan menghubungi polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here