KUALA TERENGGANU, 24 Mei — Tiada solat Jumaat dibenarkan di mana-mana masjid di daerah Besut sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah itu yang bermula 22 Mei hingga 4 Jun depan.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) Datuk Osman Muda berkata solat Jumaat di masjid akan diganti dengan melakukan solat fardhu Zohor.

“Solat fardhu berjemaah di masjid dan surau adalah dibenarkan dengan bilangan jemaah maksimum lima orang sahaja melibatkan pegawai dan ahli jawatankuasa masjid atau surau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Keputusan itu dibuat setelah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin setelah mengambil kira pandangan daripada Mufti Terengganu, Prof Madya Dr Mohamad Sabri Haron dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus.

Selain itu, Osman berkata laungan azan di masjid dan surau adalah dibenarkan sebagai makluman kepada ahli kariah berkaitan masuk waktu solat, namun aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan Iain adalah tidak dibenarkan sama sekali.

“Solat jenazah di masjid dan surau juga tidak dibenarkan. Pengurusan solat jenazah hendaklah dilaksanakan di rumah atau premis persendirian dengan hanya melibatkan kehadiran pegawai atau jawatankuasa masjid dan ahli keluarga terdekat tidak melebihi 20 orang. Jumlah yang sama termaktub untuk pengurusan pengebumian di tanah perkuburan.

“Mana-mana masjid atau surau yang dikenakan arahan penutupan di bawah Seksyen 18 ( l ) (d) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) adalah tidak dibenarkan melaksanakan apa-apa aktiviti sepanjang tempoh penutupan,” katanya.

Osman berkata Sultan Mizan turut menzahirkan kebimbangan baginda susulan peningkatan kes positif jangkitan harian COVID-19 di daerah Besut.

“Baginda mengharapkan supaya rakyat jelata khususnya di kawasan PKPD dapat mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan sama-sama memainkan peranan bersama petugas barisan depan agar wabak ini dapat dikawal sepenuhnya,” katanya.

Semalam, sebanyak 104 kes baharu COVID-19 direkodkan di daerah Besut menjadikan jumlah aktif ketika ini ialah 543 kes di daerah itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here