JOHOR BAHRU, 26 Mei  — Kadar penggunaan katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) di sini, sudah mencapai kapasiti 91 peratus susulan peningkatan kes di negeri ini.

Bilik Gerakan PKRC Stadium Tertutup MBPG dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan peratusan itu membabitkan 952 pesakit kategori satu dan dua iaitu mereka yang tidak bergejala dan tidak berisiko tinggi.

“Sebuah lagi PKRC bakal beroperasi bagi menampung pesakit COVID-19 yang kian meningkat di Johor. Perkara itu akan dimaklumkan kerajaan negeri kelak.

“Pesakit yang diarahkan menjalani kuarantin di PKRC haruslah mengikut masa yang ditetapkan pihak Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) untuk urusan pendaftaran di PKRC. Pesakit mesti mematuhi arahan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan PKRC di talian 07-2567279 atau 07-256 0149 untuk keterangan lanjut.

Untuk rekod, Stadium Tertutup MBPG merupakan PKRC pertama di Johor yang beroperasi sejak 10 Feb lepas.

Sehingga semalam, PKRC berkenaan telah menerima sejumlah 5,978 pesakit COVID-19.

Johor mempunyai dua PKRC iaitu PKRC Stadium Tertutup MBPG yang mempunyai 1,043 katil dan PKRC Swasta di DB Kompleks Iskandar Puteri, Nusajaya dengan sebanyak 395 katil.

Hari ini, Johor mencatatkan 587 kes baharu, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan COVID-19 di negeri itu sebanyak 55,592 kes.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here