KUALA TERENGGANU, 27 Mei — Kerajaan akan melakukan penambahbaikan terhadap sistem pendaftaran vaksin agar matlamat sasaran imuniti kelompok dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan sebelum hujung tahun ini, tercapai.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata pendaftaran untuk mendapatkan slot satu juta dos vaksin AstraZeneca yang ditawarkan semalam sangat luar biasa kerana lebih satu juta orang mengakses ke dalam sistem permohonan tersebut.

“Kerana itu sistem yang telah dibuat ‘stress test’ sebelum ini tanpa masalah pun menjadi sesak dan terganggu. 

“Bagaimanapun, kerajaan menerima segala teguran dan saranan pelbagai pihak tentang aspek kelancaran pendaftaran ini. Begitu juga dengan modul MySejahtera yang masih perlu ditambah baik secara berterusan,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebooknya malam tadi.

Semalam, orang ramai meluahkan kekecewaan mereka dalam pelbagai platform media sosial kerana gagal membuat permohonan mendapatkan slot vaksin AstraZeneca walaupun telah cuba masuk ke dalam sistem itu lebih awal.

Ahmad Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata kerajaan memutuskan untuk memberi dos suntikan AstraZeneca kepada sesiapa sahaja yang berusia lebih 18 tahun dan bersetuju menerima suntikan vaksin itu secara sukarela berikutan berlaku banyak penolakan sebelum ini.

Tempahan vaksin AstraZeneca itu hanya dibuka untuk penduduk di Johor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sarawak dan Selangor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here