IPOH, 27 Mei — Pengamal perubatan tradisional Cina di sekitar daerah Ipoh di sini meminta kerajaan supaya membenarkan pusat perubatan tradisional beroperasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Mukim Hulu Kinta yang bermula 22 Mei lepas.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan dan Ahli Farmasi Perubatan Cina Perak Hew Thim Fock berkata beliau menerima banyak panggilan daripada pesakit yang menerima rawatan akupunktur dan urutan terapeutik di pusat perubatannya di sini sejak PKPD dilaksanakan.

Beliau berkata kebanyakan pesakit mengalami masalah terseliuh, sakit sendi dan pelbagai penyakit lain dan ada pesakit yang memerlukan rawatan secara berterusan dan tidak boleh dihentikan begitu sahaja kerana ia akan memberi kesan buruk kepada pesakit berkenaan.

“Rawatan tradisi Cina atau tabib Cina sama seperti rawatan moden, fungsinya sama memberi rawatan kepada pesakit, jadi saya amat berharap kerajaan memberi kebenaran perkhidmatan ini dibenarkan beroperasi seperti biasa.

“Kami juga telah lengkap menerima dua dos vaksin sama seperti pengamal perubatan yang lain, jadi saya amat berharap supaya rawatan seperti akupunktur dan urutan Tuina dapat dibenarkan beroperasi sepanjang PKPD,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Tradisional Cina Perak Leong Tuck Seng pula berkata larangan tidak membenarkan pusat perubatan tradisional Cina beroperasi sepanjang PKPD amat menyukarkan pesakit sedia ada menerima rawatan yang sewajarnya.

“Kami bukan hendak membantah SOP (prosedur operasi standard) yang telah ditetapkan kerajaan tetapi perkhidmatan kesihatan tradisional Cina ini juga merupakan satu keperluan ‘essential service’,  pesakit mempunyai hak pilih rawatan mana yang sesuai. 

“Perubatan tradisional adalah rawatan berterusan, seperti pesakit perlu menjalani rawatan secara berterusan setiap minggu khususnya pesakit kronik. Jika pusat perubatan ini tidak beroperasi, ia akan menyusahkan pesakit,” katanya.

Beliau berkata SOP yang ketat juga diamalkan dengan hanya dua pesakit dibenarkan menjalani rawatan pada satu-satu masa.  

Dalam pada itu, Looi Kim Foong, 69, yang menerima rawatan di sebuah pusat rawatan tradisional Cina di Pengkalan di sini sejak setahun lepas berkata beliau amat berharap kerajaan memberi kebenaran pusat rawatan itu beroperasi sepanjang pelaksanaan PKPD.

Menurut SOP PKPD Hulu Kinta yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara, perkhidmatan tidak perlu seperti urutan, spa dan refleksologi adalah tidak dibenarkan beroperasi sepanjang PKPD yang dilaksanakan selama dua minggu bermula 22 Mei hingga 4 Jun ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here