KUALA LUMPUR, 29 Mei — Komuniti perniagaan menyokong keputusan kerajaan untuk melaksanakan fasa pertama sekatan pergerakan penuh terhadap semua sektor sosial dan ekonomi di seluruh negara mulai 1 Jun ini.

Pada masa yang sama, mereka memohon agar kerajaan menyediakan bantuan melibatkan moratorium bayaran semula pinjaman dan geran tunai secara sekali beri.

Presiden Persatuan PKS Malaysia, Datuk Michael Kang berkata persatuan itu yang mewakili perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bersetuju dengan keputusan mengenakan sekatan pergerakan itu dan menyarankan beberapa langkah kepada kerajaan.

“Terdapat 2.8 juta usahawan sektor tidak rasmi dan mikro yang akan terjejas akibat pengurangan pendapatan, namun, kerajaan diharap dapat menyediakan pakej bantuan kewangan untuk membantu perniagaan yang terkesan ini,” katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, Kang mencadangkan kerajaan untuk menyediakan moratorium bayaran semula pinjaman sepenuhnya terutamanya kepada PKS sehingga Disember 2021 selain subsidi upah dan sewa bagi mengurangkan risiko ekonomi.

Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA) yang mewakili lebih 260 persatuan perniagaan pula, turut menzahirkan sokongan kepada kerajaan di samping menyarankan lima langkah segera.

Ia terdiri daripada program untuk tidak mengambil moratorium kepada semua perniagaan dan individu sehingga 31 Dis ini; sokongan kewangan; program subsidi upah sehingga akhir tahun ini; subsidi kos utiliti; dan pengecualian berkanun antaranya melibatkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Pertubuhan Keselamatan Sosial serta bayaran ansuran Lembaga Hasil Dalam Negeri sehingga 31 Dis 2021.

Pengerusi Protem FMBA, Datuk Abdul Malik Abdullah berkata bagi subsidi utiliti, kos komunikasi seperti jalur lebar seharusnya diberikan diskaun sebanyak 50 peratus manakala Tenaga Nasional Bhd boleh menawarkan pengecualian 100 peratus kepada sektor peniagaan bukan keperluan utama selama tiga bulan dan subsidi 30 peratus bagi pelanggan runcit.

“Meskipun kami sedar keadaan (kerajaan) yang tidak menentu untuk menyeimbangkan kehidupan dan punca pendapatan, kami juga memohon perhatian untuk sejuta perniagaan dan 2.8 juta rakyat Malaysia yang mudah terjejas dari segi ekonomi seperti golongan bekerja sendiri, PKS mikro dan usahawan kecil berikutan pengurangan pendapatan dan ketidaktentuan yang timbul akibat COVID-19,” katanya.

Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) Tan Sri Ter Leong Yap antara lain mencadangkan pemberian geran tunai RM2,000-RM3,000 secara sekali beri kepada perniagaan mikro dan peniaga kecil yang layak selain bantuan tunai sekali beri berjumlah RM500-RM600 kepada pengendali teksi, pemandu e-hailing, penjaja dan pekerja yang dibayar gaji harian atau mingguan dengan majikan berdaftar.

Mengambil kira ramalan yang suram ini akibat pelaksanaan sekatan pergerakan penuh di seluruh negara, beliau turut menggesa kerajaan untuk melaksanakan ujian berskala besar dan mengesan kontak bagi memutuskan rantaian COVID-19 semasa tempoh sekatan pergerakan itu.

Beliau turut menggesa kerajaan untuk mempercepatkan penyediaan vaksin dan kadar pemvaksinan bagi memastikan pemulihan ekonomi, kesihatan yang lebih baik dan meredakan keresahan rakyat.

“Untuk mendapatkan penyampaian vaksin yang lebih segera, kita perlu meluluskan lebih banyak vaksin dari seluruh dunia dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk mempercepatkan kelulusan vaksin.

“(Kerajaan) perlu membenarkan sektor swasta termasuk hospital untuk memberikan vaksin bagi mempercepatkan proses vaksinasi kepada orang ramai,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here