SEREMBAN, 2 Jun  — Kerajaan Negeri Sembilan akan memperuntukkan RM10 juta bagi membantu rakyat di negeri ini khususnya golongan yang terjejas susulan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh ketika ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata peruntukan itu termasuk agihan bantuan seperti bakul makanan dan perkara lain yang akan dimaklumkan dalam tempoh seminggu ini.

“Dalam mesyuarat bersama Exco tadi, kita (Kerajaan Negeri Sembilan) bersetuju menyediakan sejumlah peruntukan untuk membantu masyarakat bagi meringankan beban mereka berdepan situasi COVID-19 ketika ini.

“Kita akan pastikan bahawa bantuan ini akan sampai kepada semua yang benar-benar memerlukan di seluruh negeri ini,” katanya dalam sidang media secara maya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri, di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata Kerajaan Negeri Sembilan telah melaksanakan pemotongan elaun lebih awal iaitu sebanyak 10 peratus untuk disumbangkan kepada Akaun Amanah Bencana negeri selama enam bulan bermula Januari lepas.

”Sekiranya ada Ahli Dewan Undangan Negeri yang mahu buat pemotongan (selepas ini), kita amat menggalakkan dan akan memaklumkannya,” katanya.

Aminuddin ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2021) 2020 (Belanjawan 2021) Negeri Sembilan pada Disember lepas memaklumkan kesemua barisan Exco Kerajaan Negeri Sembilan bersetuju untuk memotong sebanyak 10 peratus gaji bagi tempoh enam bulan untuk disalurkan ke dalam Akaun Amanah Bencana negeri itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here