GUA MUSANG, 3 Jun  — Bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19, masyarakat Orang Asli Batek di Kampung Aring 5 di sini mengambil inisiatif membina besi penghalang jalan untuk menyekat orang luar memasuki kampung mereka. 

Penghulu Kampung Aring 5 Raina Anjang berkata ini merupakan besi penghalang jalan ketiga dibina di perkampungan Orang Asli daerah sini selepas di Pos Tuel dan Kampung Sendrop, Pos Brooke susulan langkah kerajaan menguatkuasakan sekatan pergerakan penuh.

“Kita bimbang kerana bilangan kes COVID-19 yang semakin meningkat ketika ini. Justeru kita perlu lakukan sesuatu untuk menghalang orang luar bebas keluar masuk ke kampung ini.

“Kita harap dengan cara ini, tiada orang luar yang masuk ke kampung tanpa sebab yang munasabah lebih-lebih lagi ketika sekatan pergerakan penuh sudah dikuatkuasakan kerajaan,” katanya kepada pemberita di Kampung Aring 5 hari ini.

Beliau berkata pihaknya menyediakan pengimbas suhu, buku pendaftaran dan cecair pembersih tangan malah turut menyaring individu yang ingin melepasi sekatan itu.

Raina berkata pembinaan besi penghalang itu adalah idea bersama penduduk yang dimulakan secara gotong-royong tiga hari lepas dan siap sepenuhnya hari ini dengan kemudahan pondok pengawal selain penduduk ditugaskan secara berjadual untuk mengawal keluar masuk ke kampung yang dihuni 400 orang itu. 

Beliau juga berkata jalan ke kampung itu ditutup dari 7 malam hingga 7 pagi namun kelonggaran diberikan kepada mereka yang mengalami situasi kecemasan.

Di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang, Pasir Mas yang dahulunya meriah sebagai lokasi beli-belah pula kini sepi dan lengang susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh dari 1 hingga 14 Jun.

Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan kedai menjual pakaian, buah-buahan dan perkakas rumah tidak dibuka malah tempat parkir juga kosong berbanding sebelum ini namun penjaja makanan masih ‘setia’ di situ.

Peniaga makanan ringan Mastah Mat Din, 50, berkata dia akur dengan arahan kerajaan namun perlu meneruskan perniagaannya bagi menampung keperluan seharian.

“Sejak 1 Jun lepas, tidak ada pengunjung dari luar datang ke pekan Rantau Panjang dan kalau ada pun, hanya mereka yang singgah sekejap bagi melihat suasana di sini.

“Saya tahu ramai yang akur dengan arahan supaya kekal di rumah dan tidak keluar sewenang-wenangnya jika tidak ada urusan penting tetapi saya tetap berniaga sebab ini sahaja mata pencarian saya,” katanya sambil menambah hanya menerima tiga pelanggan dalam tempoh lima jam berniaga.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here