KUALA LUMPUR, 6 Jun — Sistematik dan lancar. Itu pendapat kebanyakan individu yang hadir di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), bagi menerima suntikan vaksin COVID-19 mereka.

Perjalanan proses vaksinasi yang lancar dan tidak perlu menunggu lama, membuatkan mereka menzahirkan rasa puas hati, terhadap keseluruhan proses berkenaan.

Berkongsi pengalaman, Siti Aishah Rahman, 35, berkata beliau hanya meluangkan masa kurang dari satu jam, bagi mendapatkan suntikan dos pertama AstraZeneca di PPV Pusat Dagangan Dunia (WTC) bulan lalu.

“Ada beberapa proses sepanjang tempoh vaksinasi, namun tidak memakan masa yang lama. Sebaik sampai di PPV, saya terus beratur dan menunggu giliran, ‘scan’ MySejahtera sebelum memasuki dewan, isi borang dan tunggu sehingga nombor giliran dipanggil.

“Sebelum diberi suntikan, ada sesi penerangan dengan pegawai kesihatan dan waktu itu kita boleh tanya apa sahaja kepada mereka, dan setelah selesai terus ke tempat pemantauan selama 15 minit…memang mudah,” katanya yang bertugas sebagai Eksekutif Pemasaran, kepada Bernama.

Turut senada, Pegawai Pemasaran Digital Emirul Shahnez Mohd Eusuff, 36, berkata proses vaksinasi di PPV WTC sangat terkawal, dan terdapat banyak petugas dan sukarelawan ditempatkan di setiap ‘check point’ di pusat berkenaan.

“Apabila sampai di PPV, ikut sahaja prosedur ditetapkan seperti beratur ikut laluan, ‘scan’ MySejahtera, isi borang dan lain-lain, orang ramai juga tidak perlu risau ketika berada di PPV kerana ada ramai petugas yang boleh membantu, sekiranya berhadapan masalah atau mempunyai sebarang pertanyaan,” katanya.

Beliau yang mendapatkan vaksin bersama isteri, Khairunnisa Khazali, 35, berkata penerangan yang jelas daripada doktor membuatkannya lebih yakin dan merasakan keputusan untuk menerima vaksin adalah pilihan tepat.

Bagi Pegawai Pentadbiran Nurulhuda Asyiqin Musatapa, 27, pula menzahirkan penghargaan kepada petugas PPV di situ, kerana memudahkan perjalanan vaksinasi yang hanya memakan masa sekitar setengah jam.

“Proses vaksin sangat cepat dalam 20 ke 30 minit sahaja, pegawai yang bertugas memberi penerangan dari semasa ke semasa sehingga selesai. Saya ditemani ibu, tetapi hanya saya sahaja yang masuk ke PPV.

“Selain kad pengenalan, saya nasihatkan bawa pen sendiri untuk mengisi borang, dan tidak perlu meminjam daripada orang lain untuk elakkan kontak,” katanya.

Pengaturcara komputer Helmi Rajab, 34, pula berkata, orang ramai perlu hadir ikut masa janji temu dan tidak datang terlalu awal, untuk mengelakkan kesesakan di PPV.

“Semasa menerima vaksin, doktor akan menunjukkan dos dan nama vaksin untuk makluman kita, selepas itu kita akan dibawa ke ‘check point’ seterusnya untuk mendapatkan kad vaksinasi, dan taklimat untuk dos kedua.

“Selain itu kita perlu berada 15 minit di tempat pemantauan dan jika tiada apa-apa masalah selepas disuntik, boleh terus pulang ke rumah,” katanya.

Mengikut perancangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga April 2021 melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua bermula April hingga Ogos ini pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan Orang Kurang Upaya, manakala fasa ketiga dijadual pada Mei tahun ini hingga Februari 2022, melibatkan individu 18 tahun ke atas, warganegara dan bukan warganegara, dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here