KOTA KINABALU, 10 Jun  — Barisan Kabinet negeri Sabah dan Ahli Dewan Undangan (ADUN) daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersetuju untuk melakukan potongan gaji bagi mengisi dana pengurusan COVID-19 di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata menteri dan pembantu menteri negeri Sabah membuat keputusan untuk melakukan potongan gaji 50 peratus selama dua bulan bermula bulan ini, manakala ADUN GRS melakukan potongan gaji sebanyak 30 peratus selama sebulan.

“Semua simpanan itu akan digunakan sebagai dana untuk membiayai pengurusan pandemik COVID-19…kami dalam kerajaan (negeri) GRS bersatu untuk terus bersama rakyat dalam menghadapi masa sukar ini,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Safar Untong dalam kenyataan berasingan  berkata penjawat awam negeri Sabah daripada Gred 29 hingga Gred Turus turut menyumbang kepada Tabung Bencana Negeri (COVID-19) Sabah pada kadar yang sama dengan penjawat awam Persekutuan.

“Sumbangan itu melalui pengurangan sebahagian dari Imbuhan Tetap Keraian (ITK) atau Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) untuk tempoh dua bulan iaitu Jun dan Julai ini…bagaimanapun sumbangan ini tidak melibatkan kakitangan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri,” katanya.

Penetapan sumbangan berdasarkan gred perkhidmatan itu adalah 50 peratus bagi Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa) A ke atas, Jusa B sebanyak 20 peratus, Jusa C sebanyak 10 peratus, Gred 44 hingga 56 sebanyak lima peratus membabitkan ITK, manakala RM10 daripada ITKA bagi Gred 29 hingga 41.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here