JELI, 12 Jun  — Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM4.5 juta untuk membaik pulih dua cerun yang runtuh di Jalan Kampung Berdang-Sungai Rual, di sini, berpunca akibat hujan lebat pada Januari lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata runtuhan berkenaan melibatkan sepanjang 80 meter dan 100 meter, masing-masing di Seksyen 6.2 dan Seksyen 4.7.

Beliau berkata kerja membaik pulih jalan raya berkenaan akan bermula selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau sekatan pergerakan penuh ditamatkan.

“Jabatan Kerja Raya juga telah melakukan pemeriksaan mengenai runtuhan ini dan laporan lengkap telah disediakan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan cerun runtuh berkenaan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli itu berkata pihaknya turut berharap agar proses membaik pulih laluan tersebut dapat disiapkan secepat mungkin kerana keadaan kerosakan menjadi semakin teruk.

“Tambahan pula, laluan ini merupakan jalan utama yang digunakan penduduk berdekatan khususnya 207 keluarga masyarakat Orang Asli untuk ke pusat bandar Jeli. Kami harap agar proses baik pulih siap sepenuhnya sebelum menjelang November ini,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here