KUALA LUMPUR, 13 Jun  — Tarikh hari ini iaitu 13 Jun diisytiharkan sebagai Hari Puisi Malaysia yang akan disambut setiap tahun oleh golongan pemuisi khasnya dan seluruh rakyat Malaysia. 

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata sudah sampai masanya komuniti sastera, khasnya pemuisi di negara ini mempunyai satu hari yang dapat disambut sebagai Hari Puisi bagi mengangkat martabat khalayak pemuisi dan bidang berkenaan. 

“Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menyokong perkembangan kecemerlangan martabat puisi. Sehubungan itu saya berharap pemuisi akan terus menjadi suara rakyat, memperjuang dan menulis isu rakyat tanpa mengira asal keturunan demi mengekalkan identiti budaya kebangsaan negara,” katanya dalam teks ucapan majlis pelancaran perisytiharan Hari Puisi Malaysia yang disiarkan di akaun Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hari ini. 

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Dr Noor Zari Hamat yang mewakili beliau dalam majlis tersebut. 

“Di negara kita, saya percaya acara kesusasteraan sebagai satu daripada seni persembahan yang boleh dijadikan acara yang dapat dimanfaatkan oleh masyarakat biasa, juga secara tidak langsung akan menggerakkan aktiviti pelancongan domestik,” katanya. 

Sementara itu Ketua Pengarah DBP Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran dalam ucapannya pada majlis  itu berkata, perisytiharan Hari Puisi Malaysia dapat memartabatkan puisi dan golongan pemuisi serta menjadi titik perpaduan dalam kalangan pemuisi tanah air. 

“Penerimaan puisi dalam kalangan masyarakat sudah berakar umbi sejak sekian lama dan kini semakin meluas dan ketara. Tambah dirasakan apabila pemuisi sering menulis dan membawakan isu masyarakat dalam karya mereka,” katanya. 

Turut dilancarkan hari ini ialah logo Hari Puisi Malaysia dan lagu  tema Hari Puisi Malaysia yang dihasilkan oleh Adiwangsa Sukma dengan lirik ditulis oleh Siso Kopratasa. 

Sempena perisytiharan Hari Puisi Malaysia pada hari ini, majlis Semarak Puisi akan disiarkan di akaun  Facebook DBP pada 9  malam ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here