PUTRAJAYA, 16 Jun — Strategi Pelan Pemulihan Negara yang merangkumi empat fasa akan dapat meningkatkan kembali ekosistem perdagangan domestik seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terutamanya kepada peniaga peruncitan, pemborong dan pengedaran melalui aktiviti ekonomi yang dibuka secara berperingkat dan berfokus.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata KPDNHEP akan terus berbincang dengan semua pihak berkepentingan termasuk kerajaan serta menyokong dan membantu pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara supaya objektif yang dirancang dapat dicapai secepat mungkin.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pelan Pemulihan Negara yang diyakini dapat mengembalikan penghidupan harian biasa menjelang akhir tahun termasuk mengadakan semula sesi persidangan Parlimen pada September atau Oktober.

Muhyiddin berkata pelan itu adalah satu strategi peralihan keluar daripada kemelut pandemik COVID-19 merangkumi empat fasa yang akan melibatkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.

Nanta berkata KPDNHEP juga telah memulakan program vaksinasi untuk barisan hadapan ekonomi dengan kerjasama Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF).

“Ini adalah penting sebagai persiapan pembukaan ekonomi yang akan dilaksanakan. Semua pemain industri menyokong sepenuhnya dan telah bersetuju mengikuti program ini yang sekarang sedang dalam peringkat pendaftaran penyertaan,” katanya.

Beliau berkata data akan diserahkan kepada CITF untuk merangka pelan pelaksanaan termasuk keperluan pusat pemberian vaksin (PPV) dan logistik. 

Menurutnya, dijangkakan sektor ekonomi akan mencapai tahap imuniti kelompok sekitar September tahun ini dengan KPDNHEP turut merancang beberapa aktiviti ekonomi bermula dari jangka masa tersebut seperti Kempen Beli Barangan Malaysia, Program Jualan Malaysia dan Program Francais Domestik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here