PUTRAJAYA, 17 Jun — Malaysia berkongsi inisiatif yang dilaksana dalam menangani kesan pandemik COVID-19 pada Persidangan Buruh Antarabangsa (ILC) ke-109 yang diadakan secara dalam talian bermula 3 hingga 19 Jun ini, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan.

Saravanan yang mewakili Malaysia ke persidangan itu berkata beliau telah menyampaikan kenyataan yang menyentuh mengenai pakej-pakej rangsangan ekonomi negara yang diumumkan oleh kerajaan pada sidang pleno ILC yang berlangsung kira-kira pukul 7.00 malam semalam.

“Ia termasuk Program Subsidi Upah yang berjaya menyelamatkan 4.7 juta pekerja dan hampir setengah juta majikan, serta inisiatif terbaharu Kementerian Sumber Manusia (KSM) iaitu aplikasi ‘Working for Workers’ (WFW),” katanya.

Menurut beliau lebih 3,000 aduan telah diterima sejak pelancaran aplikasi itu pada 3 Mei lepas, dengan lebih 1,700 aduan telah diambil tindakan oleh KSM.

Dalam kenyataan sempena persidangan ILC itu hari ini, Saravanan berkata beliau turut menekankan kepentingan kerjasama di peringkat antarabangsa selain terdapat keperluan dialog sosial secara berterusan bagi membincangkan isu-isu berkaitan dengan perburuhan dalam persidangan itu.

Menurut Saravanan, persidangan ILC bagi 2021 diadakan dalam dua sesi iaitu sesi pertama bermula 3 hingga 19 Jun, manakala sesi kedua dijangka diadakan pada November.

ILC merupakan acara tahunan yang bertujuan membincangkan serta membuat keputusan mengenai isu-isu berkaitan piawaian perburuhan antarabangsa dan hal-hal lain berhubung isu sosial dan perburuhan.

Saravanan berkata dalam sesi pertama ILC, Malaysia turut mengambil bahagian dalam Recurrent Discussion Committee on Social Security (CDR) dan COVID Response Committee (CRC).

Draf rumusan CDR merangkumi langkah mempromosi perlindungan sosial sejagat dan sokongan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) untuk mencapai matlamat itu, manakala CRC memuktamadkan dokumen bertajuk ‘A Global Call to Action for a Human Centered Recovery from the COVID-19 Crisis that is Inclusive, Sustainable and Resilient’ untuk dibentang bagi diterima pakai oleh semua negara anggota ILO.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here