GEORGE TOWN, 22 Jun — Syarikat penyedia penyelesaian memori dan storan yang beribu pejabat di Amerika Syarikat (AS) Micron Technology Inc, hari ini mengumumkan kejayaan pelaksanaannya dalam Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) COVID-19, dengan langkah vaksinasi 2,200 pekerjanya.

Langkah yang bermula pada 16 Jun lepas dan disempurnakan dalam masa lima hari itu adalah hasil usaha pendaftaran pesakit yang efisien dan pengurusan pemberian vaksin yang selamat di bawah kolaborasi dengan Pusat Vaksinasi Bukit Jawi Golf Resort di Pulai Pinang dan pelantikan pembekal perkhidmatan perubatan, Qualitas.

Pengurus Micron Malaysia Amarjit Singh Sandhu percaya PIKAS adalah pendekatan pragmatik bagi menangani penyakit COVID-19, dan akan memberi sumbangan besar kepada kejayaan melindungi nyawa dan kehidupan rakyat Malaysia.

“Kita sanjung tindakan responsif Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), kerana tidak dinafikan lanjutan kawalan pergerakan akan menjejaskan perniagaan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Micron kekal komited untuk melindungi keselamatan dan kesihatan anggota pasukannya serta komuniti sekitar, di samping terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan dos susulan sampai kepada individu dan kumpulan yang layak dengan lancar.

“Kami bangga untuk bekerjasama dengan kerajaan Malaysia dan menyegerakan langkah vaksinasi COVID-19 di seluruh negara,” tambahnya.

Sementara itu ketua pegawai eksekutif Dewan Perdagangan Amerika di Malaysia (AMCHAM) Siobhan Das menyampaikan penghargaan kepada syarikat-syarikat anggota AMCHAM di Pulau Pinang dan Selangor yang menyumbang kepada keberkesanan usaha-usaha MITI terhadap projek PIKAS bagi memastikan pelaksanaan berjalan dengan lancar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here