JOHOR BAHRU, 23 Jun — Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini berkenan supaya persidangan Dewan Undangan Negeri Johor diadakan pada 12 Ogos ini.

Menerusi Facebook rasmi baginda, Sultan Ibrahim bertitah yang baginda juga berkenan untuk berangkat merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat pada tarikh tersebut yang akan diadakan di Kota Iskandar, dekat Iskandar Puteri.

“Saya mahu semua Ahli Dewan bersatu hati untuk bersidang demi kepentingan rakyat dan negeri Johor, terutama mengenai pelan tindakan bagi membantu kehidupan rakyat yang terjejas akibat wabak COVID-19 dan menyusun pelan pemulihan ekonomi negeri Johor dengan sebaiknya.

“Saya berasa amat sedih melihat kehidupan rakyat saya yang dalam kesusahan, ketakutan dan kegelisahan sekarang ini. Saya juga kecewa kerana sehingga hari ini, masalah penularan virus COVID-19 masih belum dapat diselesaikan,” titah baginda hari ini.

Terdahulu, Sultan Ibrahim menerima menghadap Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad, Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Azmi Rohani dan Penasihat Undang-Undang Johor Amir Nasruddin pagi tadi.

Baginda turut menerima menghadap Pengarah Kesihatan Negeri Johor Datuk Dr Aman Rabu bagi mendapatkan laporan keadaan pendemik virus COVID-19 di negeri ini. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here