KUALA LUMPUR, 22 Jun — Sebanyak 17 buah bas ekspres MARA Liner Sdn Bhd diubah suai menjadi pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak untuk digunakan bagi mempercepatkan proses vaksinasi kepada komuniti luar bandar, khususnya masyarakat Orang Asli di seluruh Semenanjung.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata setiap unit PPV bergerak bas MARA Liner mempunyai sembilan kaunter vaksinasi termasuk satu untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU), serta boleh memberikan vaksin kepada 1,200 penerima apabila beroperasi selama 10 jam.

“Sebagai percubaan, dua unit PPV bergerak MARA Liner akan berlepas ke Sungai Siput di Perak Sabtu ini untuk membantu pemberian vaksin kepada masyarakat Orang Asli di beberapa kampung sekitar kawasan itu.

“Perak merupakan negeri yang mempunyai masyarakat Orang Asli paling ramai selain Pahang,” katanya kepada pemberita selepas meninjau PPV bergerak MARA Liner Sdn Bhd di Depoh MARA Liner di Batu Muda dekat sini hari ini.

Beliau berkata operasi PPV bergerak MARA Liner merangkumi beberapa kaunter yang didirikan di bawah khemah bersebelahan PPV bergerak berkenaan termasuklah kaunter untuk proses pengesahan, pendaftaran, konsultasi dan pemerhatian kepada penerima vaksin.

Semua kaunter ini adalah selaras dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), katanya.

Dr Abdul Latiff berkata setiap PPV bergerak MARA Liner akan dilengkapi dua orang doktor dan jururawat dari U.n.i KLINIK, rangkaian klinik yang dibangunkan melalui program (ProSPEC) di bawah MARA sementara bekalan vaksin adalah daripada KKM.

Menurut beliau PPV berkenaan akan memberikan vaksin kepada komuniti luar bandar tanpa mengambil kira sama ada mereka berdaftar melalui aplikasi MySejahtera atau tidak.

“Mereka di luar bandar  yang tidak pernah mendaftar untuk mendapatkan vaksin masih boleh mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 di PPV bergerak MARA Liner,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Pembangunan Luar Bandar komited untuk memastikan komuniti luar bandar mendapat akses kepada vaksin COVID-19.

Sementara itu, menurut Dr Abdul Latiff setakat hari ini 28,143 daripada keseluruhan 206,000 komuniti Orang Asli di seluruh Semenanjung telah menyatakan persetujuan untuk menerima vaksin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here