KUALA LUMPUR, 26 Jun — Sejumlah 10,000 isi rumah B40 di seluruh negara yang terjejas dari segi ekonomi akibat pandemik COVID-19 menerima manfaat dalam bentuk barangan keperluan menerusi Program Kasih Kenyang kendalian Parti Gerakan.

Presidennya Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata sasaran program itu dicapai dalam masa 12 hari selepas pengumuman mengenai bantuan itu dibuat dan parti berkenaan telah memobilisasi 148 bahagian parti di seluruh negara bagi menguruskan pemberian bantuan.

“Ini bermakna golongan B40 sangat memerlukan bantuan terutama semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sebagai parti yang (berkhidmat) demi rakyat dan prihatin, kita sentiasa bersama rakyat.

“… kebiasaannya bantuan diberikan melalui persatuan penduduk atau blok PPR tetapi kali ini semasa PKP, kita tak boleh keluar. Oleh itu, kita buka (permohonan) bantuan secara dalam talian dan media sosial,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan barangan keperluan itu kepada penerima di sini hari ini.

Menerusi program kerjasama Gerakan dan Perikatan Nasional itu, sejumlah 71 isi rumah di kawasan Batu, di ibu negara, menerima sumbangan barangan keperluan pada hari ini.

Sementara itu, beliau berkata parti Gerakan berpendirian untuk kekal fokus dalam menyelesaikan masalah penularan COVID-19 yang melanda negara dengan menggesa semua pihak menumpukan perhatian kepada proses vaksinasi populasi di Malaysia.

“Musuh kita adalah COVID-19, ketepikan politik. Jika nak apa-apa, putuskan semasa Pilihan Raya Umum ke-15. Kenapa nak sibuk sibuk (berpolitik) sekarang?

“Kita perlu tumpukan tenaga, masa dan sumber kita bersama-sama memerangi COVID-19… vaksinasi menjadi penyelesaian masalah COVID-19, pantau status vaksinasi di negara kita dari semasa ke semasa,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here