GEORGE TOWN, 27 Jun– Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) berharap Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dapat membantu mempercepat proses pemberian vaksin COVID-19 kepada petugas media berikutan masih ramai lagi dalam kalangan mereka belum mendapat suntikan itu.

Timbalan Menterinya Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata pada masa ini, terdapat banyak bekalan vaksin dan sewajarnya semua petugas barisan hadapan termasuk media, diberikan peluang untuk mendapatkan suntikan vaksin itu.

“Mereka juga bertugas di lapangan untuk menyalurkan berita kepada orang ramai  dan terdedah kepada risiko COVID-19,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Program Vaksinasi Warga Media Pulau Pinang di Klinik Kesihatan Bandar Baru Ayer Itam, di sini hari ini. .

Seramai 117 petugas media di daerah Timur Laut menerima suntikan dos pertama hari ini. 

Zahidi turut berterima kasih kepada JKN Pulau Pinang kerana mempercepat pemvaksinan petugas media di negeri berkenaan serta berharap langkah tersebut dapat dicontohi oleh JKN lain.

Menurutnya, pada masa ini terdapat kira-kira 5,000 petugas media berdaftar di seluruh negara.

Dalam perkembangan lain, Zahidi berkata pihaknya akan membawa aduan dan rungutan rakyat berhubung peningkatan kluster COVID-19 dalam sektor perkilangan kepada  Kabinet dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya aduan terbabit diterima oleh Jabatan Penerangan dan antara lain, masyarakat mengadu peningkatan kluster melibatkan sektor berkenaan turut menjejaskan pihak lain termasuk peniaga makanan, pasar malam dan lain-lain.

“Kita tidak mahu usaha baik kerajaan menentang COVID-19 ini disalah erti akibat kluster daripada kilang-kilang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here