KUALA LUMPUR, 28 Jun  — Syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama negara bersetuju untuk melanjutkan pemberian 1 gigabit (GB) data harian secara percuma sehingga 31 Dis, 2021, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kemudahan ini yang dianggarkan bernilai RM500 juta bakal memanfaatkan 44 juta pelanggan berdaftar di seluruh negara,” katanya semasa mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Selain itu, Muhyiddin berkata kerajaan telah membangunkan Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (PUPUK) sebagai inisiatif menyeluruh bagi menyokong agenda digitalisasi dan menggalakkan urusan transaksi tanpa tunai.

Beliau berkata di bawah program tersebut, kerajaan bersetuju memperuntukkan RM200 juta untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan RM100 juta untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Kempen Shop Malaysia Online dan Go-eCommerce Onboarding akan diteruskan, dengan sasaran lebih 300,000 peniaga mikro seperti peniaga bazar, pasar tani, pasar malam dan warung serta pengusaha kraf tangan untuk beralih kepada perniagaan dalam talian dan menggunakan sistem e-tunai,” katanya.

Beliau berkata peruntukan sebanyak RM100 juta di bawah SME Digitalisation Grant akan ditambah bagi membolehkan usahawan PKS mendapat geran padanan sehingga RM5,000 untuk pembelian sistem atau langganan platform digital.

Muhyiddin berkata inisiatif PUPUK juga menggalakkan penyertaan PKS mikro menceburi platform e-dagang melalui program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil yang diterajui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). 

Selain itu, katanya ia juga akan memperkasa usahawan tani, khususnya di luar bandar untuk menggunakan teknologi terkini di bawah Program Digitalisasi dan Transformasi Sektor Pertanian.

“Program ini yang akan dilaksanakan melalui kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Pertubuhan Peladang Kawasan akan mengenal pasti petani yang berpotensi untuk beralih kepada platform teknologi baharu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here