KUALA LUMPUR, 29 Jun — Rayuan serta cadangan pihak industri dan syarikat penggambaran yang mahu aktiviti penggambaran luar studio dibenarkan dalam tempoh Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), akan dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, cadangan itu akan dikemukakan secepat mungkin, berikutan keadaan penggiat industri yang hilang punca pendapatan dilihat semakin kritikal ketika ini.

Beliau berkata alasan pihak industri untuk meneruskan aktiviti penggambaran bahawa, tiada kluster COVID-19 melibatkan kru produksi dilaporkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, boleh dipertimbangkan.

“Jika dilihat kepada jumlah individu yang terlibat untuk setiap produksi penggambaran juga tidak ramai, dan saya fikir ia boleh dibenarkan dengan pematuhan SOP (prosedur operasi standard) yang ketat.

“Perkara ini akan dibawa ke mesyuarat MKN, agar keutamaan dan kebenaran operasi boleh diberikan kepada syarikat produksi untuk melakukan aktiviti itu,” katanya dalam sidang media di Wisma TV RTM Angkasapuri di sini hari ini.

Terdahulu, Zahidi mengadakan pertemuan dengan Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PPTM) Datuk Jurey Latiff Rosli dan Timbalannya Datuk A. Aida.

Dalam pada itu Jurey Latiff berkata, keadaan penggiat dan syarikat produksi ketika ini semakin tenat, malah hampir separuh syarikat yang menjadi ahli persatuan itu dijangka gulung tikar dalam tempoh dua minggu lagi, jika keadaan sekarang berterusan.

Justeru itu katanya, persatuan berkenaan amat berharap agar kerajaan dapat membenarkan aktiviti itu kembali beroperasi selewat-lewatnya 15 Julai.

“Misalnya, kru-kru produksi saya, rata-rata mereka hanya mampu bertahan (pendapatan) sehingga pertengahan bulan depan sahaja. Mereka sudah tiada kerja.

“Kami petugas produksi lumpuh, tiada kerja… kerana gaji kami semua mengikut projek (penggambaran), tiada ‘shooting’ tiada gaji,” katanya menambah terdapat lebih 5,000 petugas daripada 170 syarikat produksi di bawah persatuan itu yang terjejas.

Serentak itu juga, Jurey Latiff turut merayu agar MKN memperluaskan skop kebenaran penggambaran di dalam studio agar tidak terhad kepada studio berdaftar semata-mata yang menyukarkan proses rakaman babak penggambaran.

Katanya jumlah studio penggambaran yang berdaftar adalah kecil, justeru skop penggambaran dalam studio wajar merangkumi set penggambaran di rumah persendirian, bangunan pejabat dan lain-lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here