PUTRAJAYA, 5 Julai  — Pemberian vaksin COVID-19 bagi golongan remaja berumur lingkungan 12 hingga 17 tahun ketika ini hanyalah untuk mereka yang mempunyai masalah kesihatan, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata kumpulan teknikal Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) diminta terus mendapatkan maklumat terkini berhubung kejadian risiko myokarditis dan perikarditis terhadap golongan remaja yang diberikan vaksin.

“Kami berpendapat menjelang penghujung fasa ketiga PICK, kami akan memiliki data yang mencukupi untuk menentukan sama ada akan meneruskan vaksinasi kepada golongan remaja dengan Pfizer atau Sinovac.

“Ketika ini, ia akan diberikan kepada mereka yang mempunyai masalah kesihatan membabitkan kumpulan kecil,” katanya dalam sidang media bersama dengan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berhubung perkembangan PICK di sini hari ini.

Dr Adham pula berkata vaksinasi kepada golongan remaja akan memfokus kepada kategori berisiko tinggi iaitu kanak-kanak terimunokompromi, pesakit kanser dan mereka yang mempunyai penyakit paru-paru kronik serta komorbiditi seperti penyakit jantung dan diabetes.

Beliau berkata remaja yang berdepan risiko lebih tinggi dijangkiti COVID-19 teruk susulan keadaan kesihatan yang kronik boleh mendapat manfaat daripada vaksin jenis Pfizer manakala remaja sihat yang berdepan risiko amat rendah dijangkiti COVID-19 yang serius akan ditawarkan vaksinasi lebih lewat selepas mengambil kira hasil ujian klinikal yang sedang dilakukan menggunakan dos lebih rendah vaksin jenis Pfizer ke atas kanak-kanak.

Ditanya jika dos yang diberikan kepada remaja sama seperti orang dewasa, Dr Adham berkata kumpulan pakar masih menilai data klinikal bagi memberi penilaian berdasarkan umur seseorang namun mencadangkan agar dos vaksin untuk golongan itu dikurangkan dan seharusnya berbeza.

Katanya setakat 29 Jun, sejumlah 116,378 kanak-kanak disahkan positif COVID-19 di Malaysia dan daripada jumlah itu, 37,205 berusia lingkungan 13 hingga 17 tahun. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here