KUALA LUMPUR, 7 Julai — AirAsia Digital, cabang digital AirAsia Group serta Gojek, platform perkhidmatan dan pembayaran mudah alih Indonesia hari ini mengumumkan kerjasama pengambilalihan operasi Gojek di Thailand oleh AirAsia Digital.

Menurut kenyataan AirAsia pada Rabu, perkongsian ini dijangka dapat mengembangkan AirAsia Super App di ASEAN dan pada masa sama meningkatkan pelaburan Gojek dalam operasinya di Vietnam dan Singapura.

Ia menjelaskan, selain itu, Gojek akan menerima pegangan saham dalam AirAsia Super App yang kini mencatatkan nilai pasaran kira-kira AS$1 bilion (AS$1=RM4.16).

“Kerjasama ini menyediakan asas kukuh bagi kedua-dua pihak untuk terus meneroka peluang tambahan bagi kerjasama dan sinergi di Asia Tenggara yang menjadi antara rantau paling pesat berkembang di dunia,” menurut AirAsia.

Sebagai sebahagian komitmennya kepada Thailand, AirAsia Super App akan terus memanfaatkan ekosistem perkhidmatan sedia ada bagi rakan penghantar, perniaga dan pelanggan di samping mengetengahkan tawaran baharu seperti barangan runcit dan produk kecantikan.

AirAsia menambah perkhidmatan tersebut juga akan dikembangkan ke pasaran baharu seperti Chiang Mai dan Phuket dalam masa terdekat. 

Aplikasi Gojek akan terus beroperasi untuk pengguna sedia ada di Bangkok sehingga 31 Julai, 2021 untuk memastikan peralihan lancar bagi pihak berkepentingan Gojek, termasuk pemandu dan peniaga yang menyertai AirAsia Super App dalam beberapa minggu akan datang, jelasnya.

 AirAsia akan bekerjasama dengan kakitangan tempatan Gojek di Thailand bagi mengendalikan perniagaan Gojek dalam tempoh peralihan sebelum menyertai AirAsia Super App, dengan mereka akan  membawa kepakaran mengenai pasaran tempatan dan kefahaman berkaitan keperluan pengguna di Thailand ke dalam perniagaan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata dengan pengambilalihan perniagaan Gojek di Thailand, pihaknya dapat memacu pengembangan dalam industri ini sebagai aplikasi terkemuka di ASEAN dengan lebih pantas.

“Kami telah mempunyai ekosistem ekonomi digital yang lengkap dengan lebih 15 produk dan perkhidmatan gaya hidup, selain penerbangan di platform e-dagang digital kami di Malaysia.

“Kini tiba masanya untuk membawa visi kami ke tahap seterusnya. Kami akan mula melancarkan AirAsia Super App di semua pasaran utama selepas pelancaran di Thailand untuk memenuhi permintaan yang luar biasa dari rantau ini,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Sementara itu, CEO Gojek, Kevin Aluwi berkata perkongsian ini merupakan kejayaan pasukannya di Thailand, yang telah mengembangkan perniagaan sehingga menjadi antara penyedia perkhidmatan atas permintaan yang telah memberi impak kepada rakyat Thailand.

“AirAsia Digital dan AirAsia Super App akan menjadi rakan kongsi kami yang amat bernilai tinggi kerana berkongsi visi yang sama untuk menyediakan perkhidmatan lebih baik, di samping meningkatkan taraf kehidupan pemandu dan peniaga kami.

“Selain itu, kerjasama ini akan membolehkan kami menumpukan perniagaan di pasaran antarabangsa lain di Vietnam dan Singapura — pasaran yang dijangka memberikan pulangan pelaburan dan peluang pertumbuhan strategik yang terbaik kepada kami,” katanya.

Dagangan saham AirAsia di Bursa Malaysia ditutup pada 89.5 sen dengan 30.82 juta unit didagangkan pada Rabu, susut 3.24 peratus daripada 92.5 sen ketika penutupan pada Selasa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here