KUALA LUMPUR, 8 Julai — Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berpendapat bukanlah sesuatu yang mustahil bagi atlet negara yang julung kali menyertai Sukan Olimpik untuk pulang dengan kejayaan pada temasya sukan itu di Tokyo, Jepun bulan ini.

Beliau berkata sejarah telah membuktikan bahawa daripada 11 pingat diraih menerusi 17 penampilan kontinjen negara di pentas Olimpik setakat ini, empat disumbang oleh atlet yang membuat kemunculan kali pertama pada temasya sukan terbesar dunia itu.

Katanya mereka ialah tiga beregu badminton lelaki iaitu Datuk Razif Sidek-Datuk Seri Jalani Sidek di Barcelona 1992 (gangsa), Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock di Atlanta 1996 (perak) dan Goh V Shem-Tan Wee Kiong di Rio 2016 (perak) serta ratu terjun Pandelela Rinong di London 2012 (gangsa).

“Sebelum ini, kita lihat empat wakil negara pernah memenangi pingat di Sukan Olimpik (ketika kali pertama bertanding) dan ini bermakna atlet yang menyertai temasya sukan itu buat kali pertama di Tokyo nanti juga boleh ulang kejayaan terdahulu,” katanya pada sidang media secara dalam talian hari ini.

Terdahulu, Reezal Merican terdahulu menyertai sesi mesyuarat secara dalam talian bersama jurulatih dan pengurus kontinjen negara ke Sukan Olimpik Tokyo hari ini.

Seramai 30 atlet layak ke Sukan Olimpik Tokyo kali ini dan antara muka baharu yang menyertai temasya sukan itu ialah Lee Zii Jia (badminton), Aaron Chia-Soh Wooi Yik (badminton), Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik) dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom (berbasikal).

Reezal Merican juga berkata berdasarkan perkongsian maklumat oleh jurulatih dan pengurus kontinjen negara, dapat dirumuskan bahawa semangat para atlet kian membara walaupun terpaksa mengharungi saingan dalam suasana pandemik COVID-19 yang masih melanda dunia ketika ini.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi meminta para atlet, pegawai dan jurulatih agar menitikberatkan aspek keselamatan serta kesihatan diri selain mematuhi segala protokol yang ditetapkan penganjur Olimpik Tokyo bagi mengelak daripada dijangkiti wabak tersebut selain berjaga-jaga dengan isu doping.

Katanya hanya empat pengurus pasukan daripada sukan akuatik, badminton, golf dan olahraga yang akan ke Tokyo manakala atlet lain akan diurus oleh jurulatih masing-masing.

“Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia Datuk Mohd Nazifuddin Najib akan bertindak sebagai Ketua Kontinjen (CDM) dari aspek pentadbiran di Jepun manakala Datuk Lee Chong Wei kekal sebagai CDM sebenar,” katanya.

Isnin lepas, Reezal Merican mengesahkan  Chong Wei tidak akan ke Jepun atas faktor kesihatan dan nasihat doktor yang tidak membenarkan beliau ke luar negara namun akan memantau prestasi atlet secara maya sepanjang kejohanan berlangsung.

Beliau turut memaklumkan akan bertemu para atlet pada Sabtu ini bagi mengikuti perkembangan terkini mereka diikuti majlis amanat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 13 Julai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here