KUALA NERUS, 9 Julai — Kepayahan seorang pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) yang sukar menjalani latihan industri kerana pergerakan yang terhad mendapat perhatian Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Normelisa Mohd Yadi, 23, yang merupakan pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab (Kepujian) telah menerima bantuan kerusi roda elektrik bagi memudahkan pergerakannya tanpa bantuan orang lain untuk menjalani latihan industri.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UniSZA Prof Dr Mohd Afandi Salleh berkata kerusi roda elektrik bernilai RM2,800 itu adalah sumbangan menerusi Pejabat Wakaf dan Infaq UniSZA dan Normelisa merupakan pelajar pertama yang menerimanya.

“Kita memahami kesukaran Normelisa kerana pergerakan yang terhad sangat menyukarkan beliau menjalani latihan industri di sebuah syarikat di Kota Bharu, Kelantan sejak 3 Julai lepas.

“Ini adalah situasi baharu untuk beliau kerana sepanjang berada di UniSZA, pentadbiran universiti telah menyediakan pembantu mahasiswa (rakan siswa) untuk memudahkan pergerakan pelajar OKU menghadiri kuliah serta menjalani kehidupan di kampus,” katanya kepada pemberita di sini.

UniSZA adalah antara universiti mesra OKU di negara ini dengan pelbagai kemudahan telah disediakan untuk golongan tersebut antaranya kerusi roda, peti sejuk untuk menyimpan ubat-ubatan, skuter elektrik, alat kawalan mata untuk OKU (masalah penglihatan) menggunakan komputer, pembantu mahasiswa dan terbaharu kereta bugi yang dilancarkan pada April lepas.

Sementara itu, Normelisa, yang lumpuh kedua-dua belah kaki sejak kecil, berkata sumbangan kerusi roda elektrik berkenaan meningkatkan lagi motivasinya untuk melakukan yang terbaik sepanjang menjalani latihan industri di syarikat itu.

“Terima kasih banyak kepada UniSZA kerana sentiasa menjaga kebajikan pelajar OKU, sejak hari pertama dalam kampus sehingga ketika tempoh latihan industri, sentiasa peka dengan keperluan kami,” katanya.

Sehingga kini terdapat 40 pelajar OKU di UniSZA iaitu 22 OKU fizikal, masalah penglihatan (12), masalah pendengaran (empat) dan gangguan pertuturan (dua).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here