JELI, 10 Julai — Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pentadbiran kerajaan masih lagi berfungsi seperti biasa dan berkesan dalam memastikan ekonomi negara termasuk nasib rakyat terus terbela dalam tempoh pandemik COVID-19.

Beliau berkata walaupun terdapat kekurangan, setiap pemimpin negara ini terbuka dengan segala kritikan serta pendapat pelbagai pihak khususnya mereka yang terdiri daripada pakar dalam bidang tertentu bagi menambah baik kelemahan yang ada.

“Kerajaan gagal bermakna ia lumpuh tetapi di Malaysia, Alhamdulillah pentadbiran dan institusi awam termasuk swasta masih berjalan seperti biasa, malah semua ahli politik juga bekerja untuk memastikan nasib rakyat terbela.

“Kita (kerajaan) tidak sempurna dan kita akan terus berbincang untuk menangani segala krisis terutama aspek kesihatan dan ekonomi kerana rakyat mengharapkan pembelaan daripada semua pemimpin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengagihkan sumbangan di bawah Program Bantuan Bakul Makanan menerusi pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) kepada penduduk Kampung Berdang, di sini hari ini.

Mustapa berkata kerajaan akan cuba sebaik mungkin demi kebaikan negara dengan merangka pelbagai strategi antaranya menerusi pakej-pakej bantuan yang diumumkan sebelum ini.

Mengenai Program Bantuan Bakul Makanan itu, Mustapa berkata sebanyak 6,000 bakul makanan akan diedarkan di seluruh Parlimen Jeli melalui penghulu mukim, pihak masjid dan pemimpin masyarakat kepada golongan yang memerlukan dan dijangka selesai dalam tempoh seminggu.

“Pejabat Khidmat Ahli Parlimen Jeli telah mengagihkan 33,800 bakul makanan kepada penduduk yang terjejas akibat COVID-19 sejak Mac 2020. Ini merupakan bantuan berterusan daripada kerajaan, pejabat Ahli Parlimen dan para dermawan untuk memastikan makanan ada di atas meja setiap rakyat dan tidak ada yang tertinggal.

“Bagi masyarakat dalam Parlimen Jeli yang memerlukan bantuan atau sekiranya ada mana-mana pihak yang tercicir daripada menerima bantuan, mereka bolehlah datang ke Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Jeli,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here