KOTA KINABALU, 10 Julai — Kerajaan Sabah menyasarkan 18,000 pekerja dari 407 kilang pembuatan diberi suntikan vaksin di bawah Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) di Sabah bermula hari ini.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata pembukaan pusat pemberian vaksin industri (PPVIN) itu akan mempercepatkan lagi proses suntikan vaksin kepada pekerja sektor berkenaan khususnya dari daerah Putatan, Penampang, Papar dan Tuaran.

“Kita yakin jumlah di seluruh Sabah lagi ramai (pekerja) dan ini adalah antara usaha kerajaan bagi memastikan penduduk (Sabah) khususnya pekerja industri mendapat vaksin,” katanya.

Hajiji berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke pusat pemberian vaksin (PPV) dan PIKAS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Beliau berkata melalui PIKAS, kerajaan akan memberikan vaksin secara percuma manakala pihak swasta akan menguruskan PPVIN.

Beliau berkata majikan perlu menanggung kos bagi vaksinasi pekerja dan tidak dibenarkan untuk memindahkan kos vaksinasi dengan memotong gaji pekerja. 

Syarikat yang berminat untuk menyertai PIKAS boleh mendapatkan maklumat lanjut dan mendaftar secara dalam talian melalui www.miti.gov.my.

“Kerajaan negeri juga komited memastikan vaksinasi bagi golongan yang paling rentan dan yang telah mendaftar di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) akan menjadi keutamaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here