KUCHING, 13 Julai  — Makan di premis masih tidak dibenarkan walaupun Sarawak akan beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara mulai esok, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

JPBN Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan ini disebabkan oleh Varian Delta yang merupakan varian membimbangkan (VOC) dikesan di Kuching dengan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak (MLGH) akan mengkaji semula serta menambah baik prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

“Oleh itu, buat sementara waktu, dine-in tidak dibenarkan sehingga SOP terkini dikeluarkan oleh MLGH,” menurut kenyataan itu.

Hari ini Sarawak merekodkan 472 kes baharu COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif kepada 69,576 kes.

Kenyataan itu memaklumkan, daripada keseluruhan kes yang dicatatkan itu, 168 kes berpunca daripada tahanan di Penjara Pusat Miri.

Dalam pada itu, dua kematian baharu direkodkan, menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 435 orang.

Selain itu, JPBN turut memaklumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan dilaksana di Kampung Daie dan Bukit Batu di Lundu bermula hari ini hingga 26 Julai manakala Rumah Jerah di Sarikei dari 16 hingga 29 Julai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here