KUALA LUMPUR, 14 Julai — Malaysia sekali lagi mengungguli kedudukan teratas dalam senarai destinasi pelancongan mesra Muslim berdasarkan MasterCard-CrescentRating Global Muslim Travel Index (GMTI) 2021.

Sejak dilancarkan pada 2015, Malaysia telah mengekalkan kedudukan teratas dalam indeks berkenaan yang berperanan memantau prestasi keseluruhan pasaran pelancongan Muslim.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Nancy Shukri dalam ucaptama sempena Sidang Kemuncak Global ‘Halal Dalam Pelancongan’ 2021, berkata Malaysia tetap memberi sokongan penuh dan komited untuk terus membangunkan segmen pelancongan mesra Muslim, yang semakin signifikan dalam pasaran pelancongan dunia.

Beliau juga mengakui peranan penting yang dimainkan agensi di bawah kementeriannya, Pusat Pelancong Islam (ITC), yang menguruskan hal ehwal berkaitan pelancongan berciri Islam, terutamanya dari segi penyelidikan dan latihan pelancongan berciri Islam, yang menyumbang kepada pengiktirafan itu.

“Kelebihan ITC ialah kedudukannya dalam kalangan destinasi antarabangsa, agensi kerajaan dan badan pelancongan luar negara yang mendahului dalam konsep Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim.

“Penglibatan ITC pada peringkat serantau dan antarabangsa turut meliputi peranan sebagai pengerusi beberapa jawatankuasa yang bertanggungjawab mewujudkan garis panduan dan standard bagi perkhidmatan pelancongan mesra Muslim,” katanya pada persidangan itu yang berlangsung secara maya hari ini.

Nancy berkata antara usaha utama ITC adalah pengiktirafan kemudahan mesra Muslim (MAFR) dengan mengiktiraf hotel dan resort yang menawarkan keperluan pasaran pelancong Islam, dan terkini 44 hotel di negara ini telah menerima pengiktirafan itu.

Laporan GMTI 2021 menyenaraikan kedudukan 140 destinasi dari segi kesiapsiagaan untuk menarik pelancong Muslim dalam suasana pandemik COVID-19 dengan mengambil kira faktor-faktor utama seperti kemudahan akses, persekitaran dan perkhidmatan yang disediakan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here