KUALA LUMPUR, 22 Julai — Sebanyak 7,100 keluarga yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di seluruh Wilayah Persekutuan, menerima bantuan barangan makanan dan wang tunai melalui Program Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Prihatin Kasih Asnaf 3.0.

Program melibatkan peruntukan berjumlah RM1.5 juta itu, dilaksanakan MAIWP bersama Pusat Pungutan Zakat (PPZ) MAIWP sejak 3 hingga 18 Julai lepas, melibatkan 20 lokasi di kawasan Kampung Segambut Dalam, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, Kampung Padang Balang, PPR Kerinchi, Bandar Baru Sentul dan lain-lain.

Pengerusi MAIWP Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata sumbangan ini adalah hasil wang wakalah zakat individu, syarikat dan majikan yang menunaikan zakat di PPZ-MAIWP.

“Sumbangan yang diberikan adalah wang tunai, dua ekor ayam dan barangan keperluan asas seperti beras, tepung, minyak, gula dan lain-lain lagi. Semua urusan pengagihan dibuat melalui wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat dan ketua Majlis Pewakilan Penduduk di kawasan yang terlibat mengikut prosedur operasi standard sedia ada.

“Sumbangan ini merupakan bantuan tambahan kepada asnaf selain bantuan bulanan yang diberikan MAIWP untuk meringankan bebanan mereka yang terkesan dalam kawasan PKPD,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata program kali ini melibatkan Malakoff Corporation Berhad, MDC Oil & Gas dan Maybank, dengan kerjasama rakan strategik Richworks International Sdn Bhd, melibatkan sumbangan bantuan makanan kering bernilai RM100 kepada 800 buah keluarga.

“Sumbangan peribadi turut diberikan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang diwakilkan Setiausaha Sulit Kanan baginda Kolonel Datuk Nazim Mohd Alim,” katanya.

Menurutnya inisiatif lain yang dilaksanakan MAIWP adalah dengan membuat penyambungan secara automatik kepada semua asnaf penerima bantuan secara bulanan, yang tamat pada Ogos dan September 2021, tanpa mereka perlu datang ke kaunter baitulmal.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Abdul Hakim Amir Osman berkata  berikutan situasi sukar yang melanda negara, agensi itu amat memerlukan dana zakat untuk terus membantu mereka yang memerlukan, lebih-lebih lagi apabila berlakunya peningkatan mendadak bilangan asnaf.

“Orang ramai yang melihat atau terjumpa orang susah di Wilayah Persekutuan diminta melaporkannya kepada MAIWP dan laporan boleh dibuat menerusi aplikasi telefon pintar Mobil Jejak Asnaf atau MoJA, bagi memudahkan Skuad Jejak Asnaf Baitulmal-MAIWP turun padang membantu mereka,” katanya.

Beliau berkata PPZ-MAIWP juga baharu sahaja melancarkan Kempen Potongan Zakat Bulanan (PZB) yang berlangsung selama enam bulan bermula Julai hingga Disember 2021.

“Orang ramai boleh mendaftar Skim PZB sama ada melalui pautan ptg.zakat.com.my, mengisi borang di kaunter PPZ-MAIWP atau melalui majikan. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kempen ini, sila layarihttps://bit.ly/SkimPZB atau ikuti Facebook Pusat Pungutan Zakat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here