KUALA LUMPUR, 22 Julai  — Hanya 0.1 peratus atau sebanyak 13 kes daripada jumlah keseluruhan 13,034 kes baharu COVID-19 hari ini berada dalam kategori lima iaitu kritikal, memerlukan bantuan pernafasan dan jagaan di unit rawatan rapi (ICU) selama 21 hari, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. 

Beliau berkata sebanyak 72 kes atau 0.5 peratus pula berada dalam kategori empat iaitu mengalami radang paru-paru, perlu bantuan oksigen dan purata jagaan di ICU selama 14 hari. 

“Satu peratus atau 124 daripada kes yang dilaporkan hari ini berada dalam kategori tiga iaitu pesakit mengalami radang paru-paru serta memerlukan rawatan dan pemerhatian di hospital,” katanya dalam kenyataan di sini. 

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 12,825 atau 98.4 peratus daripada kes baharu hari ini merupakan kes dalam kategori dua dan satu. Kes dalam kategori dua iaitu bergejala ringan sebanyak 5,646 kes atau 43.3 peratus manakala kes dalam kategori satu yang tidak bergejala adalah sebanyak 55.1 peratus atau 7,179. 

Beliau berkata kes aktif di seluruh negara kini mencecah 142,051 kes dengan 938 kes memerlukan rawatan di ICU dan 459 kes memerlukan bantuan pernafasan. 

Sebanyak 134 kematian dilaporkan hari ini melibatkan 39 orang di Selangor; Wilayah Persekutuan (32); Negeri Sembilan (18); Johor (15); masing-masing tujuh di Perak dan Melaka; Pahang (lima); Kedah (empat); masing-masing dua orang di Pulau Pinang, Terengganu dan Labuan; serta satu kematian di Sabah, katanya. 

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 32 kluster baharu COVID-19 dilaporkan dengan 21 daripadanya melibatkan kluster tempat kerja, tujuh kluster komuniti, dua kluster institusi pendidikan dan dua kluster kumpulan berisiko tinggi. 

Kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R0 /RT negara pula adalah sebanyak 1.09 dengan Terengganu mencatat nilai RT paling tinggi iaitu 1.31.

Negeri-negeri lain yang mencatatkan RT melebihi 1.0 adalah Kedah (1.25); Sabah (1.21); Pulau Pinang (1.21); Johor (1.20); Pahang (1.19); Putrajaya (1.18); Kelantan (RT 1.18); Selangor (1.15); Perak (1.12); Negeri Sembilan (1.10); Melaka (1.10); dan Kuala Lumpur (1.07).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here